Friday 11 October 2013

Pantun Gua Kelam ...


Gua Kelam merupakan antara tarikan pelancong di Perlis.  
Ia adalah terowong semula jadi sepanjang 370 kilometer.
Para pengunjung boleh merentasi gua itu melalui jambatan yang disediakan.
Hanya dua buah gua seumpamanya ditemui di dunia. Sebuah lagi terdapat di Brazil.
Bukan itu sahaja keistimewaan Gua Kelam. Di gua itu, terpapar pantun daripada ilham Ketua Biro Perlis Adnan Jahaya kira-kira 15 tahun lalu. 

“Saya menulis berasaskan perkara yang sedang berlaku dalam masyarakat ketika itu. Ia sekadar nasihat dalam puisi sejajar dengan gerakan memasyarakatkan puisi, katanya.
Semalam, beliau sekali lagi melawat Gua Kelam bersama delegasi Koridor Utara (NCIA). Inilah catatannya:
“Tiada perkembangan terbaru mengenai papan pantun tu.  Ia masih teguh di situ.  Ada pengunjung dan pelancong yang mengambil kesempatan bergambar kenangan di pinggir papan pantun tu.  Papan pantun tu terletak berhampiran Secret Garden Gua Kelam dan di hadapannya diletakkan ruang rehat yang rasanya baru dibina.
Kelihatan ada yang berpuisi berasaskan bait-bait pantun yang terlakar.  mungkin mereka peminat sastera.
Saya tidak menduga lakaran pantun yang dicipta dalam masa 15 minit itu suatu ketika dahulu masih berdiri teguh di situ.  Ia bukan sekadar sebuah puisi berupa pantun namun jauh dari itu ialah luahan rasa penulis terhadap nilai murni yang perlu dihayati.
Terima kasih kepada guru-guru yang menjadikan pantun Gua Kelam sebagai bahan pengajaran sastera.  Saya melihat ada soal jawab mengenai pantun berkenaan dalam internet.
Saya tidak pasti sampai bila pantun itu akan terus bermukim di situ dan sampai bila ia akan dibaca oleh para pengunjung Gua Kelam.  Untuk tiba ke papan pantun itu para pengunjung perlu memasuki Gua Kelam yang di dalamnya tersedia kemudahan jambatan sepanjang 370 meter.
Saya berharap para pengunjung Gua Kelam bukan sekadar berbangga kerana gua batu kapur yang mereka lewati itu adalah salah satu daripada gua seumpamanya di dunia selain terdapat di negara Brazil.
Keindahan di dalam gua sudah pasti memukau dan di pintu gua berhampiran Secret Garden, mereka pastinya akan melepaskan lelah di ruang rehat sambil melihat pantun karya penulis dan membacanya.
Pastinya tidak ramai daripada pengunjung mengenali penulis pantun itu tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat memberi sumbangan karya kepada kerajaan negeri di lokasi pelancongan yang turut menerima kehadiran pelancong asing.
Sesungguhnya Gua Kelam tidak lagi kelam sebaliknya di dalamnya ada keindahan cahaya yang membolehkan para pengunjung melihat keindahan semula jadinya.
Penulis juga berharap paparan pantun yang merupakan puisi tradisional itu sekurang-kurangnya menerangi usaha memasyarakatkan puisi di segenap ruang termasuk di lokasi pelancongan.” Adnan Jahaya

No comments:

Post a Comment