Thursday 17 October 2013

Melihat Kaabah dari udara...

Melihat Kaabah dan Mina dari udara akan menjadi kenangan manis bagi jurufoto  Kassim Saad yang sedang mengerjakan Haji di Tanah Suci.
Beliau serta jurufoto dan jurukamera mewakili organisasi media dari negara-negara Islam yang menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi mendapat peluang menaiki helikopter  untuk merakam foto dan visual.
“Rasa bertuah pasal bukan semua orang dapat lihat Kaabah dari udara dengan orang ramai sedang tawaf… syukur Alhamdullillah,” katanya dari pusat media di Mina.
Wartawan dalam delegasi media itu juga tidak berkesempatan menaiki helikopter kerana ia dikhaskan untuk jurufoto dan jurukamera, kata Kassim yang mengerjakan Haji bersama-sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio-visual Mokhtar Hussain.   
“Di Mina tak nampak jemaah melontar pasal ada bumbung…tapi cantiknya Komplek Jamrah setinggi lima tingkat,” katanya yang pergi melontar ketiga-tiga jamrah selepas Zohor semalam .
Kassim berkata mereka menaiki helikopter itu petang semalam dan agak lewat untuk menghantar foto ke ibupejabat. Foto-foto yang dihantarnya hari ini dapat dilihat dalam ruangan ini.
“Satu heli empat orang…ada lima heli untuk media,” katanya yang naik bersama-sama jurukamera Metro TV dari Indonesia serta  jurufoto dari Maghribi dan Bosnia Herzegovina.
Menurut Kassim, mereka menaiki helikopter selama 20 minit,“ pusing Kaabah lima kali dan Mina lima kali”.
Ia bukan kali pertama bagi beliau mengambil gambar dari udara kerana telah berkali-kali berbuat demikian sejak berkhidmat dengan Bernama selama 17 tahun.
“OK la..agak gegar sikit je… pilot OK dah tahu angle mana kita nak,” katanya ketika ditanya sama ada ia sukar untuk merakam foto dari udara.
Katanya, setelah melontar Jamrah selepas Zohor hari ini, mereka akan menaiki bas ke Makkah untuk melakukan tawaf.
Kassim dan Mokhtar berangkat ke Tanah Suci pada 2 Oktober dan dijadualkan pulang 26 Oktober ini.








No comments:

Post a Comment