Saturday 19 October 2013

Kagum Bernama pantas salur berita...

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kagum dengan kepantasan Bernama menyalurkan berita berkaitan keputusan Pemilihan Umno 2013.
"Bernama begitu pantas sekali mengeluarkan segala maklumat yang diperlukan, antaranya berita-berita tentang corak pengundian, keputusan tidak rasmi dan maklumat lain yang diperlukan pembaca.
"Ini adalah perkara-perkara yang menjadi minat orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan pemilihan Umno.
“Alhamdulillah, Bernama dapat menyalurkan berita itu 'almost real time'," katanya selepas melawat bilik berita di Wisma Bernama malam ini.
Beliau berkata sekiranya terlalu lambat berita itu disalurkan, maka wujudlah khabar angin dan ini tidak sihat serta menjejaskan nama baik seseorang pemimpin.
Mengulas mengenai proses pemilihan Umno kali ini, Shabery berkata beliau bersyukur proses yang berlangsung sepanjang hari berjalan lancar.
"Alhamdulillah berjalan dengan baik, lebih licin lagi daripada yang dilalui pada minggu yang lepas. Beberapa isu yang ditimbulkan seperti warna kertas pengundian yang sama, tempat mengundi yang sesak dan cara pengiraan undi dapat diatasi.
"Yang penting ini (pemilihan Umno) adalah merupakan satu transformasi yang besar bagi Umno serta bagaimana Umno mendengar pandangan rakyat bawahan dalam kumpulan yang lebih besar dan ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

 


No comments:

Post a Comment