Thursday 24 October 2013

Al-Fatehah...


“Al-Fatehah. Jenazah Sdra Mohsin dari Bernama Terengganu selamat dikebumikan lepas asar tadi di Seberang Takir. Rakan baik serumah awal tahun 70an. Beliau bawa sikit hati ini bersamanya. Moga2 dicucuri rahmat.”
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib membuat catatan itu dalam akaun Facebooknya.
Rakan baiknya saudara Moksin Bakhari, 57, meninggal dunia selepas kemalangan jalanraya di atas Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu hari ini.
Datuk Ahmad, yang bergegas ke Terengganu, memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan Bernama pada tahun 1972 sebelum menyertai Business Times pada tahun 1978.
Allahyarham Moksin, yang sedang bercuti menjelang persaraan wajib Januari depan,
cedera parah di kepala setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah van dalam kejadian 12.15 tengah hari.
Beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Teluk Ketapang selepas melawat anak saudaranya di Kampung Chabang Tiga.

Ketua Biro Bernama Terengganu Amrizan Madian menyifatkan arwah seorang pembantu tadbir yang berdedikasi dan berpengalaman dalam bidang  pentadbiran mengurus pejabat.
Katanya pemergian Allahyarham yang telah berkhidmat lebih 35 tahun dengan Bernama sangat dirasai oleh warga Bernama khususnya di Terengganu.
Allahyarham meninggalkan isteri Noriah Hamid Sultan, 56, dan empat anak.
Seluruh warga Bernama mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dirahmati Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment