Sunday 6 October 2013

Berani tegakkan kebenaran...

Ugutan tembak dan ancaman bom tidak melemahkan semangat Ketua Biro Bernama Perlis Adnan Jahaya kerana menyifatkannya sebagai “asam garam kehidupan wartawan”.
Sebagai negeri bersempadan Thailand, beliau beberapa kali ke selatan Thai untuk melaporkan mengenai kejadian di sana.
“Pernah semasa bertugas membuat liputan pilihan raya umum Thailand,  banyak cabaran dihadapi termasuk melihat kes-kes pembunuhan.
“Ada juga kes-kes lain seperti semasa guru-guru mogok di selatan Thai disebabkan mereka bimbang untuk keluar bertugas kerana ancaman bunuh,” kata Adnan ketika berlintas langsung untuk rancangan “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio  24 (BR24) pagi ini.
Beliau teringat peristiwa bersama-sama jurufoto Kassim Saad, yang kini mengerjakan Haji, diugut dengan pistol diletakkan di belakang mereka kerana  dikatakan sebagai penceroboh.
“Saya nyatakan bahawa kami hanya ada buku nota dan sebatang pen untuk melihat dan melaporkan keadaan di sana…., akhirnya ia berakhir  secara baik,” kata Adnan yang telah empat kali menyaksikan letupan bom di depan mata termasuk menyebabkan kematian.
Satu daripada perisitiwa itu berlaku pada tahun 2007 apabila beliau berada di selatan Thai kerana urusan peribadi.
“Apabila balik ke hotel, ada bom meletup dan  sayapun terus melaporkan berita kepada Bernama bahawa beberapa rakyat Malaysia kelihatan cedera dan api marak  menyala,” katanya yang turut membuat lintas langsung kepada Bernama TV.
Walaupun beliau tidak bertugas ketika itu, Adnan berkata menjadi tangungjawabnya sebagai wartawan untuk melaporkan kejadian itu.
“Kalau kita tak melaporkan, sia-sia sahaja berada di tempat itu, apatah lagi melibatkan rakyat Malaysia.
“Kejadian seperti itu tidak pernah melemahkan semangat  saya sebab  itu selepas 30 tahun, saya tak pernah merasa bosan, takut atau jemu kerana ugutan adalah asam garam kehidupan wartawan.
“Apabila menjadi wartawan, kita mesti berani mengatakan yang benar, apabila putih kena kata putih, jangan hitamkan yang putih…kita hendaklah melaporkan berasaskan fakta,” katanya kepada peneraju rancangan Wan Yuzaini Wan Yahya..
Dalam program selama 40 minit itu, beliau menceritakan pengalamannya menemubual pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Rashid Mydin di Yala pada tahun 1989 sebagai susulan kepada peletakan senjata oleh PKM.
“Dia memuji kerajaan Malaysia yang berjaya melaksanakan beberapa projek ekonomi termasuk kereta Proton Saga dan motosikal nasional,  saya  melaporkan tetapi ada pihak yang cuba menafikan, ada media kata laporan itu tak betul.
“Saya kemukakan buku nota dan rakaman perbualan untuk membuktikan saya di pihak yang benar,” katanya.
Mengenai kecenderungan golongan muda terlalu mempercayai maklumat daripada media baru, beliau berkata telefon bimbit dan internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Mereka tidak berminat dengan media cetak kerana perlu membeli dan mereka rasa lebih mudah mendapat maklumat daripada internet , handphone.
“Bukan 100 peratus maklumatnya tepat sebab tak tahu dari mana maklumat diperolehi.
“Golongan muda yang tak berhati-hati menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan laporan yang disiarkan secara tak rasmi.
“Maklumat ada dalam tangan mereka tapi maklumat itu tidak sahih, itulah yang menjadi punca kepada masalah-masalah lain.
“Ketaksuban mereka terhadap laporan media baru, media alternatif menjadikan kita kerugian dari segi mewujudkan golongan bermaklumat daripada sumber yang sah,” kata Adnan, 53,.
Anak kelahiran Bintong, Perlis itu mula menulis untuk akhbar Bintang Timur pada tahun 1977 ketika masih bersekolah di tingkatan empat.
Pada 1981, beliau menyertai akhbar Berita Harian dan dua tahun kemudian berpindah pula ke akhbar Harian Nasional, yang baru bertapak.
Apabila Harian Nasional ditutup, Adnan menyertai Bernama pada tahun 1985 sebagai pemberita daerah dan menjadi eksekutif editorial mulai 1996.
Beliau dilantik sebagai Ketua Biro Perlis pada 1997 dan kemudian sebagai Ketua Biro Kedah selama dua tahun mulai 2005 sebelum kembali ke Kangar sehingga kini.
Mengimbau penglibatan awal, katanya beliau menulis semasa di Tingakatan Empat atas faktor kewangan kerana dibayar  untuk berita dan rencananya..
“Guru-guru kerap memilih rencana saya sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain kerana ia berkait dengan negeri Perlis,” katanya.
“Saya minat menulis sejak kecil, saya juga menulis cerpen dan ada yang diantologikan oleh beberapa penerbit termasuk Syarikat Kota Medan yang membukukan karya saya untuk pasaran Indonesia,” katanya yang sempat  membeli buku itu semasa berkunjung ke sana.
Adnan telah lama tidak menulis cerpen dan novel – yang terakhir Antologi Sidang Kabinet, satu kumpulan cerpennya yang menggunakan tajuk  cerpen “Sidang Kabinet”.
“Selepas bersara, mungkin saya akan mula balik karya kreatif,” katanya yang telah melawat ke seluruh dunia sejak berkhidmat  dengan Bernama.
Negara-negara itu termasuk Sweden, Finland, Ukraine, Poland, Britain, Jerman, Sepanyol, Australia, New Zealand, China, Jepun, Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain, Kazakhstan, Vietnam dan Uzbekistan di samping negara tetangga, Indonesia dan Thailand.
Mengenai Perlis, beliau berkata sungguhpun ia negeri paling kecil namun Perlis mempunyai banyak tempat tarikan dan alam semulajadi yang indah.
“Walaupun Perlis kecil, tetapi padang besarnya ada tiga -- satu di sempadan Thailand, satu di Kuala Perlis dan satu lagi di Arau,” katanya bergurau.
“Ia mempunyai lanskap menarik yang dipagari Banjaran Nakawan yang menjadi dinding pemisah antara Perlis dengan wilayah satun Thailand.
“Kalau musim menyemai padi, nampak bagaikan hamparan karpet hijau dan apabila tiba musim menuai, karpet hijau akan berubah menjadi karpet berwarna kuning emas,” katanya.
Satu tempat pelancongan yang menjadi kebanggaan Perlis ialah Gua Kelam.
Menurut Adnan, tempat itu mungkin dianggap biasa bagi penduduk Perlis tapi gua berkenaan  adalah satu antara dua di dunia yang mempunyai  terowong semula jadi yang panjang.
“Ada jambatan dibina dari pintu gua sebelah sini dan keluar di tempat lain dan di hujungnya.. bukan nak promosi diri ialah pantun ciptaan saya yang diletakkan di pintu gua oleh kerajaan negeri sejak 15 tahun lalu,” katanya.  
Pantun-pantun itu menceritakan mengenai keindahan dan kedamaian negeri Perlis.
“Saya tengok dalam Facebook, ramai juga yang bergambar di tepi pantun itu,” katanya..

No comments:

Post a Comment