Tuesday 22 October 2013

Exco baharu KPPB hadiri MBJ…


Barisan exco baharu Kesatuan Pekerja-pekerja Bernama (KPPB) dipimpin Yang Dipertuanya Zaharin Mat Noor bertemu pihak pengurusan pada Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di Wisma Bernama pagi ini.
Mereka dipilih untuk tempoh 2013-2015 pada mesyuarat agung KPPB di Wisma Bernama, pada 21 September lepas. 
Selain Zaharin, pihak kesatuan diwakili Norrisah Abu Bakar (setiausaha), Mohamod Nik (penolong setiausaha) dan Hanafiah Omar (bendahari).
Empat anggota jawatankuasa yang hadir ialah  Amarul Nakhim Ahmad, Safiah Nawawi,       Noor Aishah Ayob dan Rafeaton Mohd Ali.
Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong, yang mempengerusikan mesyuarat, mengucapkan tahniah kepada barisan exco baru KPPB.
Beliau berharap kesatuan akan berganding bahu dengan pihak pengurusan untuk terus  menjadikan Bernama tempat kerja yang kondusif.
Ini akan dapat menarik minat tenaga muda yang berbakat untuk berkhidmat dengan Bernama.
Selain Datuk Yong, pihak pengurusan diwakili Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan tiga timbalannya Datuk Zakaria Abdul Wahab (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri), Amer Hamzah Md Sap (Perkhidmatan Berita Ekonomi) dan Ahmad Zukiman Zain (Perkhidmatan Berita Antarabangsa), Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Encik S.Visvakumar, Pengurus Kewangan Akaun Puan Sharifah Zaini Syed Zain, Pengarah Operasi Perkhidmatan Audio Visual Ahmat Wahab dan Pengurus Bahagian Sumber Manusia Puan Noor Fishah Osman.
Persekitaran kondusif tempat kerja termasuk mengadakan MBJ setiap tiga bulan sebagai  saluran dua hala antara pihak pekerja dan pihak pengurusan untuk berkomunikasi dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea demi kepentingan dan kebaikan organisasi.
"Kebanyakan yang kita cadangkan diterima-pakai oleh pihak pengurusan," kata Zaharin selepas mesyuarat.
Satu daripada cadangan KPPB itu ialah pusingan tugas dan tanggungjawab (job rotation) antara petugas yang dikemukakan pada mesyuarat MBJ 2 September lepas.
Pihak Sumber Manusia, yang menyokong cadangan berkenaan demi kebaikan organisasi dan para petugas, menyatakan ia dapat memberi faedah dalam aspek-aspek berikut:
  1. Meningkatkan prestasi organisasi dan petugas
  2. Menambah pengalaman petugas
  3. Meningkatkan motivasi petugas
  4. Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan petugas
  5. Peningkatan kerjaya petugas
  6. Persiapan Pelan Peralihan Petugas (Succession Planning) pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment