Monday 21 October 2013

Tempa sejarah berimpak tinggi...


Pusat Kecemerlangan Bernama menempa sejarah apabila menganjurkan bengkel berdepan media untuk 20 para pegawai tertinggi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Setiausaha KPKT Datuk Seri Arpah Abdul Razak menyertai bengkel khas  High Impact Communications in Confronting Media’ itu bertempat di Pusat Kecemerlangan Bernama, tingkat 12,  Wisma Bernama hari ini.
Turut serta timbalannya, Datuk Halimi Abdul Manaf, Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nadzri Yahya, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Dr. Mohd. Padzil Hisham dan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Encik Esa Haji Ahmad. 
Sesi pagi dimulakan oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong yang menerangkan langkah persediaan dan teknik yang sesuai ketika berdepan dengan pihak media.
Pengalaman luas beliau dalam bidang kewartawanan dikongsikan bersama peserta.
Antara perkara yang ditekankan oleh Datuk Yong ialah pentingnya menyediakan press kit sewaktu sidang media diadakan. 
Menurutnya, ini signifikan kerana wartawan mungkin tidak mengetahui banyak perkara mengenai organisasi atau kementerian yang terlibat.
Justeru, press kit dapat memberi input berkaitan agenda utama yang diketengahkan. Perkara yang harus diambilkira juga ialah maklumat terkini  perlu ada di hujung jari.
Untuk tujuan itu, mana-mana bahagian terlibat wajar menyediakan maklumat yang sentiasa dikemaskini bagi membolehkan pegawai tertinggi agensi atau menteri memberi kenyataan kepada media.
Selain itu, Datuk Yong juga mengetengahkan beberapa perkara seperti masa, logistik dan lokasi yang sesuai untuk mengadakan sidang media agar ia memberi impak.
Slot seterusnya merupakan sesi lawatan ke Bernama Radio24, NAM News Network,  BernamaTV, unit foto dan Meja Berita Jabatan Pengarang. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta kursus melihat dengan lebih dekat operasi pelbagai perkhidmatan berita Bernama
Editor Meja Berita Am, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Encik  Khairdzir Md Yunus, mengendalikan slot di sebelah petang berkaitan 'Komunikasi Krisis'.
Beliau menerangkan mengenai kepentingan komunikasi dalam mengurus krisis serta kaedah-kaedah dan strategi komunikasi yang efektif.
Selain itu, beliau juga memberi pendedahan tentang perkara yang perlu dilakukan untuk ‘damage-control’ reputasi organisasi.
 Sebaik-baiknya, sesebuah agensi perlu mempunyai atau melantik jurucakap yang kredibel dan pakar mengenai perkara-perkara teknikal untuk dirujuk oleh pihak media.   
Slot seterusnya ialah Role play – handling media during crisis di mana Editor Tugasan Bernama TV, Encik Abdul Rahman Ahmad bersama beberapa wartawan BernamaTV  mengadakan simulasi seolah-olah satu sidang media sedang berlangsung.
Datuk Seri Arpah, Datuk Halimi dan Datuk Dr Nadzri  dihujani dengan pelbagai pertanyaan dari topik pembuangan sisa hinggalah kepada isu perumahan. 
Para peserta mendapati bengkel itu adalah praktikal selain berpeluang mengenali Bernama dengan lebih dekat.
Dalam ucapan ringkasnya pada sesi penutup, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkifli Salleh bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Arpah bahawa penekanan ke atas penggunaan media sosial perlu diberi perhatian.
Justru, kerjasama erat antara KPKT dan Bernama amat dialu-alukan terutama memikirkan pendekatan terbaik untuk menyalurkan maklumat dengan cepat.
  
Syed Khedher Ismail/ Ridzuan Mohd Ghazali


No comments:

Post a Comment