Sunday, 13 October 2013

Tinggalkan makmal untuk bilik berita...

Jika tidak kerana dorongan kawan rapatnya, Puan Hafizah Kamaruddin mungkin terus bekerja di makmal perubatan Hospital Universiti (sekarang Pusat Perubatan Universiti Malaya).
Semasa bersekolah, beliau tidak mempunyai cita-cita menjadi wartawan tetapi berminat menjadi guru.
Selepas permohonannya memasuki maktab perguruan tidak berjaya, beliau menyambung pelajaran ke tingkatan enam dan mengambil sikap ‘follow the tide’.
Dengan latarbelakang aliran sains, beliau bekerja sebagai petugas teknologi makmal perubatan di Jabatan Mikrobiologi Hospital Universiti dari 1980 hingga 1982.  Tawaran belajar sambil bekerja untuk diploma bidang teknologi makmal perubatan telah menarik minatnya bekerja di situ.
“Tetapi kawan rapat saya sejak sekolah Puan  Hanizam Abdullah, sekarang ini pengarang bersekutu edisi mingguan  Berita Harian,  galakkan saya masuk ITM ambil kewartawanan,” kata Hafizah yang sering  mengikuti Hanizam  untuk ‘assignment’nya.
“Kalau tidak kerana dia, mungkin saya kekal jadi ahli teknologi makmal perubatan di Hospital Universiti,” katanya dalam program bual bicara “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Setelah memperolehi Diploma Sebaran Am dengan pengkhususan dalam bidang kewartawanan, Hafizah terus menyertai Bernama walaupun menjalani latihan praktikal dengan akhbar Business Times.
“Apabila keluar (dari ITM), saya rasa saya nak tempat yang mempunyai bilingual kerana hasrat saya untuk memperkembangkan keupayaan saya dalam  bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris,” kata Penolong Editor Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Bernama itu.
Pada 1 Oktober lepas, genap 28 tahun Hafizah berkhidmat dengan Bernama.
Beliau turut berkongsi pengalaman menjadi ketua biro Bernama di Perak dari 1995 hingga 2001 yang penuh dengan pelbagai cabaran.
“Jarang masa tu wanita menjadi ketua biro, saya satu-satunya ketua biro wanita Bernama masa zaman saya,” katanya yang berasal dari Chemor, Perak.
Belumpun sebulan beliau “balik kampung” untuk bertugas, berlaku kes seorang lelaki mengamuk mengakibatkan dua orang awam mati dan tujuh orang termasuk dua anggota polis cedera.
Kes itu bermula di Slim River sehingga ke Ipoh apabila berlaku tembak menembak antara polis dengan lelaki berkenaan.
Peristiwa itu betul-betul mencabar Hafizah yang sudah lama tidak membuat  liputan jenayah semasa bertugas di ibupejabat.
“Memang saya “was caught by surprise” tak sangka dia boleh bergerak dari Slim River, sampai ke Ipoh sehingga lelaki itu ditembak mati di Ipoh Garden.
“Masa di Slim River, Lat Zaharah Mutalib yang cover dan masa tembak-menembak di Ipoh Garden, saya berada di situ untuk cover,” katanya. Lat Zaharah kini penolong editor meja penyuntingan Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE).
Satu lagi peristiwa yang meninggalkan kenangan ialah peristiwa banjir lumpur di perkampungan Orang Asli  Pos Dipang pada Ogos 1996 yang mengorbankan 39 nyawa.
Menurutnya, ibupejabat menghantar back up termasuk tiga wanita,yang berpakaian baju kurung dan berkasut tumit tinggi.
“Akhirnya kena beli track bottom dan t-shirt serta slipper untuk membonceng  motosikal ke perkampungan orang Asli,” katanya.
Peneraju rancangan Wan Yuzaini Wan Yahya turut bertanyakan Hafizah mengenai pengalamannya berkursus di Paris pada tahun 1993.
“Sebelum saya ke Perak, saya ditawarkan kursus sambil belajar dengan AFP selama sebulan di kota Paris.
“Itu juga mencabar kerana sebagai budak kampung, it was a culture shock bila berada di  City of Love tu,” katanya.
Katanya, beliau tidak bertemu dengan para wartawan AFP kerana mereka bertugas di luar pejabat.
“Di office itu, hanya penyunting dan Bahagian antarabangsa yang menterjemah berita daripada luar ke dalam bahasa Peranchis. Itulah tugas yang diberikan kepada saya untuk menterjemah berita-berita dalam bahasa Inggeris dari negara-negara Afrika ke dalam bahasa Peranchis… teruk jugalah, sebab saya terpaksa buka kamus tapi itu adalah pengalaman yang menarik,” katanya.
Beliau kagum dengan sistem fail agensi berita itu yang dapat memberikan maklumat dengan cepat, seolah-olah semuanya di hujung jari.
“Kalau ada kejadian besar, dia dah ada maklumat segera, sebab dia cover seluruh dunia… ada profil dan latabelakang negara serta pemimpin, amat efisyen,” katanya.
Mengenai tugasan di luar negara,Hafizah berkata kali pertama beliau ke luar negara untuk tugasan Bernama ialah mengikuti lawatan Timbalan Menteri Luar Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan ke Uzbekistan  pada tahun 1980-an.
“Masa tu Uzbekistan belum maju seperti sekarang,  kena naik chartered flight Aeroflot dari sini,” katanya dan teringat penghantaran berita secara telegrafik yang bermasalah.
Paling akhir tugasan di luar negara ialah Julai lepas ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke London.
Lawatan itu sempena majlis pecah tanah pembangunan semula Battersea Power Station,  pengumuman mengenai penganjuran World Islamic Economic Forum yang pertama kali di luar negara–negara OIC serta pertemuan Perdana Menteri dengan para pelajar Felda yang menuntut di  kota London.
“Yang menariknya dalam lawatan itu kita dapat lihat betapa agresifnya Malaysia melabur di negara yang pernah menjajah Malaysia dahulu.
“Satu perkembangan yang menarik terutama melihat pelaburan Malaysia di London semakin meningkat dengan jumlah berbilion pound.
“Malah Datuk Bandar London Boris Johnson  memuji pelabur Malaysia yang masuk ke London dan membantu memperkembangkan ekonomi London,” katanya.
Mengenai Pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri semalam, Hafizah yang telah lama membuat liputan berkenaan sejak menyertai Bernama merasa kelainannya kali ini.
“Bagi kami di meja berita, inilah cabaran pertama kali untuk membuat liputan  pemilihan Umno (mengikut kaedah baharu) berbanding tahun-tahun sebelum ini… agak mencabar juga dalam planning.
“Semalam kami bercadang nak buka 24 jam operasi, sebab tak tahu bila keputusan akan diperolehi…tetapi Alhamdulillah, dapat selesai pukul 5 pagi ini.
“Kali ini rasa lain sikit sebab ia buat di peringkat bahagian, selalunya di PWTC so warna- warni kempen itu  tak dapat dirasai, kemeriahannya lain.
“Dulu kalau dekat mengundi, macam-macam style berkempen,” katanya.
 Mengenai cabaran yang dihadapi Bernama dalam melaporkan berita dengan pantas, beliau berkata ia memang sengit terutama daripada media baru.
“Sekarang ini dah ramai yang ada  berita online, twitter, sms…kita perlu sentiasa be on our toes,” katanya.
Hafizah berkata cabaran itu memerlukan wartawan mempunyai kefahaman mengenai perkembangan semasa untuk mendapat reaksi dengan pantas serta membina contact  (sumber) yang boleh memberikan maklumat dan berita eksklusif.
Mengenai kecenderungan generasi muda mempercayai media alternatif, Hafizah berkata itu juga antara peranan penting Bernama untuk  memperbetulkan yang salah dengan mengeluarkan berita yang sahih supaya rakyat tahu keadaan sebenar. .
“Bernama dengan status sebagai agensi berita kerajaan yang memang dihormati dan dipercayai perlu pastikan berita yang dikeluarkan itu betul-betul sahih dan tepat,” katanya.
Ketika ditanya mengenai liputan semalam, Hafizah berkata: “Kami telah menurunkan wartawan –wartawan di semua negeri dan PWTC dan berita-berita yang disalurkan berdasarkan apa yang diumumkan.
“Kami tidak menggunakan unsur hearsay, kami guna announcement yang dibuat oleh (Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno) Tan Sri Tajul Rosli Ghazali,” katanya.
Beliau menjangkakan liputan lebih mencabar apabila pemilihan bagi Majlis Tertinggi Umno diadakan minggu depan terutama bagi jawatan naib presiden.

1 comment:

  1. Terima kasih Puan Hafizah. Cerita puan sangat inspiring. Saya juga bekerja di makmal dan sedang mencari jalan untuk tukar bidang dan kejar cita2 utk menjadi press photographer. Terima kasih!

    ReplyDelete