Thursday, 3 October 2013

Berbakti dengan menderma darah...

Kempen derma darah anjuran Pusat Darah Negara dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Bernama mendapat sambutan positif  petugas Bernama.
Seramai 47 petugas hadir ke Bilik Latihan di Tingkat 12 untuk menderma darah.
Namun disebabkan beberapa faktor seperti tekanan darah yang tidak bersesuaian dan kurang waktu tidur, hanya 43 orang sahaja yang layak untuk menderma.
Majlis bermula pukul 10 pagi dengan  taklimat ringkas oleh Dr Jamaludin Mail. Beliau telah dipertanggungjawabkan oleh Pusat Darah Negara mengetuai kempen pada hari ini dengan dibantu oleh beberapa orang jururawat.
Turut menderma darah ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Zakaria Abd Wahab, 
"Mereka yang terima darah ini akan sedarah sedaging dengan sayalah!," kata Datuk Zakaria.
Saudara Samsuri Hussin dari Perkhidmatan Berita Ekonomi pula memang biasa menderma darah sebanyak 1 pain jika badannya sihat.
Dalam buku rekod yang diberikan oleh Pusat Darah tercatat bahawa beliau telah menderma sebanyak empat kali tahun lepas dan dua kali setakat ini pada tahun ini.
"Saya terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat yang memerlukan.
"Saya tidak mempunyai harta tetapi darah inilah yang saya harap dapat menyelamatkan nyawa," kata Samsuri, 57 tahun.
Seorang petugas dari unit QMS, Wan Nor Azriyana, telah melalui satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Beliau begitu bersemangat untuk menderma darah dan telah hadir lebih awal bersama rakan-rakannya.
Namun sewaktu darah mahu diambil, keterujaannya telah menyebabkan jururawat sukar untuk mendapatkan darahnya.
Mujur setelah beberapa kali cubaan, akhirnya segala urusan berjalan dengan lancar.
Para petugas yang mendermakan darah mereka turut disajikan dengan nasi lemak serta spaghetti goreng yang ditempah oleh Pusat kecemerlangan.
Malah, wakil daripada Pusat Darah Negara turut mengagihkan biskut, roti serta air minuman kepada petugas yang telah selesai mendermakan darah mereka.
Pihak Pusat Darah Negara merakamkan jutaan penghargaan atas kemurahan hati para petugas dan berharap kempen seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.



No comments:

Post a Comment