Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek kagum dengan kepantasan Bernama menyalurkan berita berkaitan
keputusan Pemilihan Umno 2013.
"Bernama begitu pantas sekali mengeluarkan segala
maklumat yang diperlukan, antaranya berita-berita tentang corak pengundian,
keputusan tidak rasmi dan maklumat lain yang diperlukan pembaca.
"Ini adalah perkara-perkara yang menjadi minat orang
ramai yang ingin mengetahui perkembangan pemilihan Umno.
“Alhamdulillah, Bernama dapat menyalurkan berita itu
'almost real time'," katanya selepas melawat bilik berita di Wisma Bernama
malam ini.
Beliau berkata sekiranya terlalu lambat berita itu
disalurkan, maka wujudlah khabar angin dan ini tidak sihat serta menjejaskan
nama baik seseorang pemimpin.
Mengulas mengenai proses pemilihan Umno kali ini, Shabery
berkata beliau bersyukur proses yang berlangsung sepanjang hari berjalan
lancar.
"Alhamdulillah berjalan dengan baik, lebih licin
lagi daripada yang dilalui pada minggu yang lepas. Beberapa isu yang
ditimbulkan seperti warna kertas pengundian yang sama, tempat mengundi yang
sesak dan cara pengiraan undi dapat diatasi.
"Yang penting ini (pemilihan Umno) adalah merupakan
satu transformasi yang besar bagi Umno serta bagaimana Umno mendengar pandangan
rakyat bawahan dalam kumpulan yang lebih besar dan ini dapat dilaksanakan
dengan baik," katanya.
No comments:
Post a Comment