Tuesday, 8 October 2013

Memanfaatkan teknologi mudah dan murah ...


Berada di Peranchis untuk tugasan, Editor Meja Tugas Khas dan Rencana Haji Mohd Nasir Yusoff melakukan lebih daripada sekadar menulis berita. 
Beliau mengambil kesempatan mencuba teknologi canggih dengan mengirim rakaman laporan beliau dari Cannes melalui WhatsApp untuk Bernama Radio24 (BR24).
Visual juga turut dihantar melalui WhatsApp untuk Bernama TV.
Ketua Unit Berita BR24 Mohamad Letfee Ahmad menghargai inisiatif Haji Nasir mengirim “sound bite” yang disiarkan menerusi segmen berita pagi ini.
“Terima kasih kepada Hj Nasir atas laporan itu. Membuktikan segalanya boleh dilakukan,” kata Letfee.
“Kami berharap ini akan merupakan permulaan kepada usaha berterusan Bernama untuk menyampaikan maklumat melalui semua platformnya – wires, radio dan TV,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Zakaria Wahab turut memuji Haji Nasir yang berani mencuba teknologi baharu itu bagi memantapkan laporannya dan mengguna pelbagai platform media!
“Saya kagum petugas kita telah memanfaatkan teknologi percuma dan tersedia iaitu whatsapp untuk membantu Radio24 dalam liputan beritanya ke arah lebih bercorak hampir ‘real time’ dan meluas,” katanya.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!

Haji Nasir membuat liputan lawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke pasaran terbesar industri kandungan dan kreatif global, MIPCOM di Palais de Festival di Cannes.
Lebih 60 syarikat industri kreatif Malaysia menyertai MIPCOM 2013 dari 7 hingga 10 Oktober ini.
Penggunaan teknologi untuk meningkatkan keupayaan penyampaian berita secara ‘real time’ turut ditekankan oleh Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong semasa pembentangan pencapaian KPI suku tahun ketiga Jabatan Pengarang pagi ini.
Beliau memberikan contoh mengenai kaedah “live streaming” yang disaksikannya semasa menghadiri mesyuarat agung Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) di Moscow  bulan lepas.
Teknologi itu sekali lagi diperkatakan ketika pertemuan beliau serta para editor kanan Bernama dengan Presiden Xinhua, Li Congjun di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.
Li menceritakan bagaimana beliau menggunakan kenderaan bersatelit untuk membuat perjalanan selama empat hari ke satu kawasan di negara itu,  menemubual orang ramai serta melaporkan secara langsung  -- “live streaming”.
Usaha itu merupakan antara langkah yang diambil oleh agensi berita China itu untuk mengatasi cabaran media sosial.
Datuk Yong berkata jika agensi-agensi lain sudah mengorak langkah untuk memanfaatkan penggunaan teknologi,  Bernama seharusnya tidak ketinggalan.

No comments:

Post a Comment