Wednesday, 9 October 2013

Kerjaya bawa kembara ke serata dunia ...

Kerjaya sebagai jurufoto Bernama telah membawa Haji Rosli Awang ke merata tempat di dunia.
Menatap wajah pemimpin dunia dari dekat, terkandas di bumi asing dan belayar dengan kapal untuk tugasan pertama ke luar negara.
Ini dan banyak lagi peristiwa  mewarnai kehidupan Rosli setelah 30 tahun berkhidmat dengan Bernama.
Menjangkau perkhidmatan tiga perdana menteri, beliau telah merakamkan gambar mereka dengan pemimpin-pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, bekas presiden George W.Bush dan pemimpin Afrika Selatan Nelson Mandela. 
“Semasa di APEC 1989 di Bangkok, saya telah bersedia mengambil gambar Bush dengan Perdana Menteri Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad apabila Presiden Amerika Syarikat itu memanggil kami masuk dahulu.
“Saya berdiri begitu dekat dengan dia…begitu juga dengan Obama ketika pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Rugi tak ambil gambar … tapi siapa pula yang nak ambil gambar saya dengan mereka?,” kata Rosli, 53, yang tidak dapat menyatakan dengan tepat  jumlah negara yang telah beliau kunjungi.  
Yang terakhir ialah membuat liputan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Britain dari 8 hingga 12 September lepas.
Semasa pertemuan Tan Sri Muhyiddin dengan rakan sejawatannya dari United Kingdom, Nick Clegg, ada kenangan yang membuatkan Rosli tersenyum.
“Apabila sampai di tempat berkenaan dengan krew RTM dan TV3, ada lelaki ini yang menyambut kami masuk dan sempat berbual….saya tak tahu dia Nick Clegg sehinggalah dia sambut Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Satu peristiwa yang menjadi kenangan manis baginya ialah apabila berpeluang “makan semeja” dengan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Marhum Tuanku Ja'afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman.
“Saya ditugaskan mengambil gambar majlis penyerahan piala kriket…Al-Marhum Tuanku ketika itu presiden kriket tetapi pihak yang hendak menyerahkan piala lambat sampai ke istana.
“Apabila mengetahui saya sudah ada di situ, Tuanku meminta pembantu istana  membawa keluar minuman dan kamipun minum bersama…banyak juga yang Tuanku tanya saya mengenai kerja,” kata Rosli
“Hampir 20 minit saya bersama Tuanku sehinggakan bodyguard cakap selepas itu bahawa walaupun dia dah lama kerja dengan Yang di-Pertuan Agong tapi tak pernah duduk bersembang dengan Tuanku,” katanya sambil tersenyum.
Pengalaman itu juga mengajar Rosli supaya menitikberatkan ‘PR’ (perhubungan awam) ketika menjalankan tugas sebagai jurufoto.
“Kerja macam ni, PR kena ada sebab kita kena rapat dengan orang-orang besar.
“Tak boleh bersikap kurang ajar, perlu protokol terutama dengan istana.
“Jangan semata-mata nak kan gambar, kita main laung aja kepada pemimpin-pemimpin untuk ‘pose’,” kata beliau.
Sebelum melakukan tugasan di luar negara, beliau membuat persediaan termasuk  mempastikan tarikh luput pasport sekurang-kuranya enam bulan.
Beliau juga menyediakan bekalan makanan seperti biskut dan  minuman ‘3 in 1’.
Kenangan yang sukar dilupakan ialah ketika terkandas di pulau Barbados ketika dalam perjalanan dari St.Vincent ke Jamaica di Afrika semasa membuat liputan lawatan mantan  Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2006.
“Saya pernah mengalami kesulitan kerana terlepas connecting flight dari St Vincent ke Trinidad…saya dan seorang jurukamera RTM terkandas di Barbados dengan masing-masing hanya tinggal 200 dollar.
“Terpaksalah kami gunakan duit itu untuk beli tiket kapalterbang ke Trinidad bagi mendapatkan penerbangan kami yang telah ditetapkan ke Jamaica,” kata Rosli yang membuat liputan itu dengan Datuk Seri Azman Ujang, ketika itu ketua pengarang yang pergi berasingan.
“Pengalaman ini mengajar saya betapa pentingnya untuk mempastikan waktu connecting flight …kalau setakat dua jam, boleh menjadi masalah…sekurang-kurangnya empat jam,” kata bapa kepada empat orang anak itu. Mereka berumur antara 13 hingga 23 tahun.
Seperti kebanyakan orang, perkara-perkara yang berlaku ‘kali pertama’ mudah menjadi ingatan.
First time saya pijak kaki di London ialah tahun 2002, saya beli  kasut Clark dengan harga 30 pound, sampai sekarang okay lagi, cuma dua kali saya tukar tapak,” katanya.
“Negara pertama saya pergi dengan kapalterbang ialah Indonesia pada tahun  1991 ketika membuat liputan lawatan Yang di-Pertuan Agong. 
“Sebelum itu, saya  pergi Vietnam pada tahun 1989 dengan wartawan Ghazemy Mahmud untuk cover tugasan berkaitan pertahanan…kami belayar dengan kapal selama dua minggu,” kata Rosli mengenai tugasan pertamanya itu ke luar negara.
Beliau juga tidak lupa perjalanan paling lama untuk ke negara bertugas iaitu dari Kuala Lumpur ke Brasilia di Brazil.
Perjalanan lebih 30 jam itu meliputi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Johannesburg sebelum ke Capetown, kedua-duanya di Afrika Selatan, dan seterus Buenos Aires di Argentina  sebelum ke Brasilia.
Rosli berkata di antara banyak tugasan di luar negara, yang paling bermakna bagi beliau ialah membuat liputan Haji pada November 2010.
Pemergiannya ke Tanah Suci adalah atas undangan kerajaan Arab Saudi.
"Ia adalah liputan yang paling menyeronokkan kerana saya dapat mengerjakan Haji di samping menjalankan tugas," katanya.
 

No comments:

Post a Comment