Pusat Kecemerlangan Bernama
menempa sejarah apabila menganjurkan bengkel berdepan media untuk 20 para
pegawai tertinggi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT).
Ketua Setiausaha KPKT Datuk
Seri Arpah Abdul Razak menyertai bengkel khas
‘High Impact Communications in Confronting Media’ itu bertempat
di Pusat Kecemerlangan Bernama, tingkat 12,
Wisma Bernama hari ini.
Turut serta timbalannya,
Datuk Halimi Abdul Manaf, Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr.
Nadzri Yahya, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Dr. Mohd. Padzil
Hisham dan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Encik Esa Haji Ahmad.
Sesi pagi dimulakan oleh
Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong yang menerangkan langkah persediaan
dan teknik yang sesuai ketika berdepan dengan pihak media.
Pengalaman luas beliau dalam bidang kewartawanan dikongsikan bersama peserta.
Antara perkara yang
ditekankan oleh Datuk Yong ialah pentingnya menyediakan press kit sewaktu sidang media diadakan.
Menurutnya, ini signifikan kerana wartawan mungkin tidak mengetahui banyak
perkara mengenai organisasi atau kementerian yang terlibat.
Justeru, press kit dapat memberi input berkaitan
agenda utama yang diketengahkan. Perkara yang harus diambilkira juga ialah
maklumat terkini perlu ada di hujung
jari.
Untuk tujuan itu, mana-mana
bahagian terlibat wajar menyediakan maklumat yang sentiasa dikemaskini bagi
membolehkan pegawai tertinggi agensi atau menteri memberi kenyataan kepada
media.
Selain itu, Datuk Yong juga
mengetengahkan beberapa perkara seperti masa, logistik dan lokasi yang sesuai
untuk mengadakan sidang media agar ia memberi impak.
Slot seterusnya merupakan
sesi lawatan ke Bernama Radio24, NAM News Network, BernamaTV, unit foto dan Meja Berita Jabatan Pengarang. Lawatan
ini memberi peluang kepada peserta kursus melihat dengan lebih dekat operasi
pelbagai perkhidmatan berita Bernama
Editor Meja Berita Am,
Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Encik
Khairdzir Md Yunus, mengendalikan slot di sebelah petang berkaitan 'Komunikasi Krisis'.
Beliau menerangkan mengenai
kepentingan komunikasi dalam mengurus krisis serta kaedah-kaedah dan strategi
komunikasi yang efektif.
Selain itu, beliau juga
memberi pendedahan tentang perkara yang perlu dilakukan untuk ‘damage-control’ reputasi organisasi.
Sebaik-baiknya,
sesebuah agensi perlu mempunyai atau melantik jurucakap yang kredibel dan pakar
mengenai perkara-perkara teknikal untuk dirujuk oleh pihak media.
Slot seterusnya ialah Role play –
handling media during crisis di mana Editor
Tugasan Bernama TV, Encik Abdul Rahman Ahmad bersama beberapa wartawan BernamaTV
mengadakan simulasi seolah-olah satu sidang media sedang berlangsung.
Datuk Seri Arpah, Datuk
Halimi dan Datuk Dr Nadzri dihujani
dengan pelbagai pertanyaan dari topik pembuangan sisa hinggalah kepada isu
perumahan.
Para peserta mendapati bengkel itu adalah praktikal selain berpeluang mengenali Bernama dengan lebih dekat.
Dalam ucapan ringkasnya pada
sesi penutup, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkifli Salleh bersetuju dengan
pandangan Datuk Seri Arpah bahawa penekanan ke atas penggunaan media sosial
perlu diberi perhatian.
Justru, kerjasama erat
antara KPKT dan Bernama amat dialu-alukan terutama memikirkan pendekatan
terbaik untuk menyalurkan maklumat dengan cepat.
Syed Khedher Ismail/ Ridzuan Mohd Ghazali
No comments:
Post a Comment