Sambutan Hari Wartawan Malaysia yang julung kali dicadang diadakan
tahun ini akan tampil sebagai perayaan terbesar pengamal media di negara ini,
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh membayangkan hari ini.
Ia dijangka melibatkan penyertaan antara 3,000 hingga 4,000
pengamal media dari seluruh negara.
“Sambutan ini bagi merayakan kebebasan media di Malaysia
dengan memberikan pengiktirafan kepada media sebagai “the fourth estate” dalam sebuah negara yang demokratik dan
berdaulat,” katanya kepada para pegawai kanan Bernama.
Tarikh yang dicadangkan ialah antara 31 Ogos dan 16
September ketika semangat patriotisme masih membara.
“Ia akan diadakan di luar ibu negara sama ada di Pulau
Langkawi atau di Pantai Timur seperti di Cherating…tempat di mana para peserta
boleh ke sana dengan kenderaan darat (by land),” katanya.
Cadangan mengadakan Hari Wartawan Kebangsaan Malaysia
disuarakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said
Keruak pada 8 Februari lepas ketika menghadiri sambutan Hari Pers Nasional
Indonesia di Ambon.
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan
penghargaan tersebut mulai tahun ini bagi meraikan sumbangan pengamal media
terhadap negara.
"Kita
juga akan mengundang Persatuan Wartawan Indonesia untuk memeriahkan Hari
Wartawan Kebangsaan Malaysia sebagaimana yang dilakukan sempena Hari
Pers Nasional yang diadakan di Indonesia pada setiap tahun," kata
Datuk Seri Salleh yang mengetuai delegasi pemimpin media Malaysia.
Datuk
Zulkefli, yang juga Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia
(ISWAMI) dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab turut
menyertai delegasi itu.
Menurut Datuk Zulkefli, selain ISWAMI beberapa pihak
seperti Jabatan Penerangan dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) akan dilibatkan
dalam penganjuran Hari Wartawan Kebangsaan.
No comments:
Post a Comment