Friday 3 February 2017

Gerakan sambut baik cadangan adakan semula berita Tamil dan Mandarin di BNC

Parti Gerakan menyambut baik cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mewujudkan semula berita berbahasa Tamil dan Mandarin di saluran televisyen Bernama News Channel (BNC).
Naib Presiden dan Pengerusi Biro Perpaduan Kebangsaan parti itu Datuk Dr Asharuddin Ahmad berkata ia merupakan langkah positif kerana ia akan memenuhi keperluan komuniti itu di negara ini.
Beliau berkata penyiaran berita berbahasa Tamil dan Mandarin juga menandakan penghargaan terhadap kepelbagaian sosial dan inisiatif kerajaan untuk mendekati komuniti berkenaan.
"Penyiaran berita berbahasa Tamil dan Mandarin akan membolehkan komuniti berkenaan mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan di negara ini.
"Ia membantu dalam memastikan ketepatan dan keselarasan berita-berita dan juga dapat memupuk kesedaran sosial dan perpaduan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementeriannya dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bercadang mewujudkan semula berita berbahasa Tamil dan Mandarin di BNC.
Beliau berkata perbincangan bersama pihak pengurusan Bernama sedang dilakukan supaya cadangan itu dapat dilaksana dalam masa terdekat.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment