Tuesday 14 February 2017

Istimewanya 14 Februari kali ini bagi Haji Hammad...

Foto 'usikan' hari jadinya yang dimuat
naik di Facebooknya oleh seorang rakan
Menjadi perkara biasa bagi Timbalan Ketua Penyunting Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Haji Noor Hammad Wariman menyambut hari lahir dalam suasana pasangan di seluruh dunia meraikan hari kekasih.
"Apapun 2017, the best birthday sebab dapat ucapan dalam alam maya dan nyata," kata beliau yang menerima banyak ucapan tersebut menerusi laman Facebooknya.
Haji Hammad, genap 55 tahun hari ini, walaupun ada kawan lama yang mengusiknya dengan meletakkan angka '44' dalam ucapan selamat hari lahir kepada beliau.
"Saya dah masuk 55 tahun ini," katanya dalam catatan di Facebook bagi menjawab beberapa komen yang mempersoalkan angka itu. 
Ditanya kemudian mengenai azam hari jadinya, Haji Hammad berkata: "Tingkatkan ilmu agama."
Beliau telah berkhidmat dengan Bernama selama 35 tahun dan pernah bertugas di Johor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang selain di ibu pejabat.
"Memang seronok dengan suasana kerja sekarang," kata bapa kepada enam orang anak itu termasuk dua yang telah berumahtangga.
Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas ialah "menangani sikap".
Ketika menjadi wartawan, antara liputan yang terpahat dalam ingatannya ialah melaporkan mengenai pelayaran Datuk Azhar Mansor yang terkandas seketika di Falklands pada tahun 1999 dan peristiwa Memali pada tahun 1985 .
"Saya wartawan pertama yang dibenarkan masuk oleh polis sebaik selepas kejadian Memali...dengan itu, jurufoto Bernama dapat merakamkan foto eksklusif," katanya.
Datuk Azhar merupakan rakyat Malaysia pertama yang berjaya belayar mengelilingi dunia.
Pada mulanya beliau merancang untuk melakukan pelayaran tersebut dalam tempoh kurang 100 hari, tetapi telah menghadapi masalah berkaitan tiang layar yang patah ketika berada di Cape Horn, Amerika Selatan. 
Setelah masalah itu diatasi, beliau meneruskan pelayaran dan berjaya menamatkannya di Langkawi dalam masa 190 hari meliputi 21,600 batu nautika pada 11 Ogos 1999.
"Satu lagi liputan yang menjadi kenangan ialah pesawat MAS terhempas di Kampung Melayu Subang...kalau tak silap tahun 1984, kesemua selamat," kata Haji Hammad.



No comments:

Post a Comment