Tuesday 21 February 2017

Bernama jayakan Program Negaraku: Komuniti 1 Malaysia...

Bernama akan turut menjayakan 'Program Negaraku: Komuniti 1Malaysia' yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang Darul Makmur.       
Pengurus Komunikasi Korporat Bernama Zarina Rozali berkata Bernama akan menyertai pameran yang dianjurkan sempena program itu.
Beberapa produk di bawah Bernama akan dipamerkan kepada orang ramai seperti Bernama Radio, Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Images. Dijangkakan pembukaan konti mini Bernama Radio akan menarik minat pengunjung.
"Kita akan mula berada di lokasi pada 24 Feb hingga 26 Feb ini. Melalui pembukaan konti mini (Bernama) Radio akan dapat memberi peluang kepada pengunjung menguji bakat sebagai pengacara radio,"
Lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri 'Program Negaraku: Komuniti 1Malaysia' anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu yang dibuka dari 8.30 pagi hingga 10 malam.
Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pameran caring bridge/Komuniti 1Malaysia, Kembara Jalinan Kasih, kenduri kampung dan persembahan kebudayaan.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan program berkenaan pada Sabtu di taman tasik itu.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment