Masyarakat harus menjadi pengguna bijak dengan memerangi berita palsu yang banyak dilakukan menerusi laman sosial.
Memberi ingatan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata undang-undang sahaja tidak mencukupi kerana yang lebih penting ialah kesedaran masyarakat menolak berita-berita palsu (fake news).
"Dalam dunia yang baharu ini, kita kena menjadi pengguna yang bijak...kita kena menguasai teknologi, bukannya teknologi menguasai kita.
"Kita kena melawan fake news ini, apabila kita mendapat berita, kita jangan terima bulat-bulat, kita kena pastikan adakah berita itu benar ataupun tidak," katanya dalam wawancara dengan Bernama Radio ketika bertandang ke kontinya pagi ini.
Beliau ditanya mengenai penularan berita palsu di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
Datuk Seri Salleh, yang diiringi Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, sebelum itu melancarkan program 'Tamil Oli' yang akan bersiaran di Bernama Radio mulai Sabtu ini.
Beliau berkata kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun ini akan melancarkan program besar-besaran untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahayanya berita palsu.
"Kita harus memberi kesedaran bahawa kita perlu bijak dalam dunia baharu ini.
"Kita tidak boleh lari dari dunia baharu ini, dunia tanpa sempadan, tahun ini kita telah isytiharkan sebagai dunia internet ekonomi tetapi kita harus pastikan bahawa kita lebih bijak lagi daripada maklumat-maklumat yang kita terima," katanya.
Ketika ditanya bentuk tindakan yang wajar diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan laman media sosial, beliau berkata akta multimedia mempunyai kuasa-kuasa tertentu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan fitnah, menghina mana-mana pihak atau membuat posting berita-berita palsu.
"Kita amat serius sekali tentang perkara ini, itulah sebabnya kerajaan telah menubuhkan mahkamah siber di mana kita mempunyai mahkamah khusus untuk mengendalikan kes-kes seperti ini," katanya.
"Di peringkat tertinggi pula, kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa khas membanteras penyalahgunaan media sosial di mana saya sendiri menjadi pengerusi dan dianggotai, peguam negara, ketua polis negara dan ketua setiausaha kementerian-kementerian berkenaan untuk melihat perkara ini dan mengambil langkah-langkah tertentu.
"Tapi bagi saya, yang lebih penting ialah kita mempunyai kesedaran...undang-undang itu tidak mencukupi dan kadangkala ada saja pihak yang mencari jalan untuk cuba keluar daripada undang-undang tersebut dan kadang-kadang ada antara web atau blog ini dihoskan di luar negara," katanya.
Beliau berkata kerajaan tidak berniat untuk menyekat Facebook walaupun ada kalanya timbul masalah kerana ada posting seumpama itu dibuat dalam laman sosial itu.
"Kita kena manfaatkan dunia teknologi ini, ICT, untuk kepentingan kita," katanya.
Selain memperluaskan rangkaian persahabatan, masyarakat boleh menggunakan internet untuk terlibat dalam perniagaan bagi meningkatkan pendapatan, katanya.
No comments:
Post a Comment