Monday 20 February 2017

Bernama menang anugerah rencana terbaik Melaka...

Bernama memenangi Anugerah Rencana Terbaik (Bahasa Inggeris) menerusi artikel bertajuk ‘Port State Initiative to Free Melaka from Tourism Dependency’ oleh Ketua Biro Melaka Fadzli Ramli.
Anugerah itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Idris Haron pada Malam Media Melaka yang diadakan di Melaka malam tadi.
Anugerah Wartawan Terbaik dimenangi Nor Amalina Abd Halim dari RTM, Anugerah Khas Ketua Menteri dirangkul Shazzuan Shah Mohd Saleh (Melaka Hari Ini) dan Anugerah Khas Juri dimenangi Mohamad Raffi Bachik (Astro Awani).
Sebanyak 17 kategori anugerah dipertandingkan yang terbuka kepada semua pengamal media di negeri Melaka.
Dalam ucapannya, Idris mengingatkan pengamal media agar patuh kepada etika kewartawanan bagi menyokong proses demokrasi di negara ini.
Beliau berkata ini kerana kebanyakan berita politik kini memaparkan berita bersifat negatif yanga lebih menjurus kepada konflik dan skandal.
“Peranan media sangat besar kerana ianya cepat mempengaruhi pemikiran masyarakat sehingga mampu memberi impak yang besar kepada negara,” katanya.
Menurutnya, masyarakat menjadikan media sebagai rujukan untuk mendapat maklumat, sehubungan itu media harus melaporkan berita yang sahih dan berkualiti.
Beliau berkata pengamal media seharusnya memastikan kesahihan sumber berita dengan berhati-hati sebelum menyiarkan berita itu.


No comments:

Post a Comment