Setelah mengembara ke 22 negara dengan mengayuh basikal bersendirian, seorang pensyarah politeknik amat memahami ungkapan "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri".
"Betul, sangat-sangat betul...ini bukan disebabkan saya orang Malaysia tetapi saya dah lalui 22 negara," kata pensyarah Politeknik Kuching, Sofian Mohd, 56.
"Dari aspek keselamatan, kita di Malaysia banyak monumen, tugu yang mempunyai sejarah dan saya boleh berada di sana seberapa lama yang saya suka.
"Di luar negara, tidak boleh duduk lama, tiga, empat minit ada pihak berkuasa yang meminta saya bergerak ke tempat lain disebabkan aspek keselamatan," katanya dalam temubual dengan Bernama Radio pagi ini.
Beliau berkata Malaysia sangat aman, "kalau saya nak makan, kedai buka 24 jam, bila-bila masa...sebut sahaja nak makan apa". Sofian juga menyebut aspek kemesraan rakyat Malaysia.
"Paling minima kita senyum, di sana mereka jeling kepada orang asing yang lalu di kampung mereka," katanya dan mengakui bahawa keadaan itu boleh menimbulkan rasa takut.
Sofian yang berasal dari Terengganu mengayuh sejauh 22,000 kilometer dalam tempoh 16 bulan bermula Julai 2015 hingga November lalu.
Antara negara yang direntasnya ialah Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Turkemenistan, Azerbaijan, Jerman, Switzerland, Turki, Greece, Belanda, Peranchis, Belgium, Itali, United Kingdom, Jepun, Vietnam, Korea Selatan dan Kemboja.
"Saya ambil masa hampir dua tahun untuk buat persiapan...laluan, stamina, mental, kena baca basikal apa nak guna, khemah apa nak guna...," katanya.
Sofian berterima kasih kepada Wisma Putra yang sangat membantu beliau dengan memaklumkan kepada kedutaan Malaysia di luar negara sebelum beliau melintasi sempadan negara berkenaan.
Apa yang menggembirakannya semasa perjalanan itu ialah apabila ada orang berhenti dan bertanyakan khabar serta arah tujuannya.
Dapat bercakap dengan orang setelah jauh berkayuh sendirian begitu melegakan beliau kerana ada ketika sehingga tujuh hari tidak bercakap dengan orang.
Ramai yang mengajaknya bermalam di rumah mereka setelah mengetahui tujuannya.
"Saya bertanya sendiri sama ada mampukah saya buat begitu kepada orang asing yang saya tak kenal...sampai sekarang kami terus bersahabat...walaupun bahasa berbeza, itu tidak menjadi halangan untuk kita berhubung kerana ia datang dari hati," kata pensyarah bahasa Inggeris itu.
Katanya, tidak ada pengalaman pahit ditempuhinya melainkan satu saat menyedihkan apabila mendapat berita mengenai kematian adiknya.
Ketika itu beliau berada di sebuah bandar di China dalam cuaca sejuk.
Mahu sahaja beliau pulang setelah menerima perkhabaran itu tetapi dinasihati oleh keluarga di kampung agar meneruskan pengembaraannya.
Sopian bersyukur kerana tidak sakit atau cedera sepanjang perjalanannya yang jauh itu.
Beliau menceritakan mengenai satu ketika apabila beliau begitu gembira untuk bertemu orang Malaysia yang telah menunggu kehadirannya.
"Saya juga menunggu untuk bertemu mereka sebab dah lama tak makan nasi goreng," katanya berseloroh.
Setelah berehat seketika, Sofian berhasrat menulis buku daripada catatan nota yang dibuat mengenai perjalanannya itu.
No comments:
Post a Comment