Sunday 26 February 2017

Bernama menang tiga anugerah Islamic Relief Malaysia...

Foto Bernama
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi tiga anugerah Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi tiga perkhidmatan sepilinnya -- wires, radio dan televisyen.
Anugerah Kemanusiaan - Laporan Berita Antarabangsa Kategori Bahasa Inggeris dimenangi menerusi artikel bertajuk 'IRM Expresses Concern on Situation in Iraq's Mosul'  tulisan wartawan Nabilah Saleh. 
Bernama turut memenangi Anugerah Kemanusiaan - Temubual TV Kategori Bahasa Inggeris menerusi rancangan 'Hello Malaysia' di Bernama News Channel dan Anugerah Kemanusiaan -Temubual Santai Kategori Radio menerusi slot Gen-P bertajuk 'Gift of  Hope' di Bernama Radio.   
Anugerah disampaikan oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah IRM Datuk Naimun Ashakli Mohammad yang juga bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India pada majlis Hari Penghargaan Media IRM 2017 di Kuala Lumpur hari ini.
Pengarang Meja Antarabangsa Nor Faridah Abdul Rashid mewakili Bernama untuk menerima ketiga-tiga anugerah berkenaan. 
Nabilah tidak menyangka tulisannya itu akan meraih anugerah kerana ia dihasilkan daripada perasaan ikhlas untuk membantu.
"It's a big token for a small contribution and write-up by me," kata wartawan di Perkhidmatan .Berita Antarabangsa (PBA) itu.
"Saya senang dengan IRM, dengan mereka saya rasakan saya dapat menyumbang penulisan sambil membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Nabilah, yang genap lima tahun di PBA pada 9 Januari lepas, berazam akan menghasilkan lebih banyak tulisan yang mempunyai kepentingan umum.
Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM18 juta pada tahun ini bagi memperkasakan lagi program bantuan kemanusiaan organisasi itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata pada 2016 IRM menerima sumbangan sebanyak RM15 juta, berbanding RM12 juta pada 2015.
"Saya yakin sasaran tahun ini dapat dicapai. Yang pastinya usaha itu (bantuan kemanusiaan) kena berterusan, kami perlu telus supaya penderma boleh tengok duit itu ke mana, kesan atas usaha yang dibuat dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.
-- Bernama



No comments:

Post a Comment