Thursday 19 September 2013

Zaharin kekal presiden KPPB...


Kesatuan Pekerja-pekerja Bernama (KPPB), yang mengadakan mesyuarat agung Sabtu ini, dijangka mengekalkan Zaharin Mat Noor  sebagai presiden untuk penggal 2013/2015.
Tidak ada pencabar yang tampil untuk menggugat kedudukan Zaharin yang memimpin kesatuan sejak tiga tahun lepas.
Timbalan presiden Abu Kassim Chik, yang menghadapi dua pencabar, berharap untuk dipilih semula.
“Banyak lagi perkara yang belum selesai,” kata jurukamera Perkhidmatan Audio-Visual itu.
 Bendahari KPPB Hanafiah Omar, yang dijangka kekal, berkata jawatan setiausaha dan penolong setiausaha menyaksikan pertandingan, masing-masing dengan tiga calon.
Bagi pemilihan anggota jawatankuasa pula, seramai enam orang akan bertanding untuk merebut lima tempat.
Mesyuarat agung akan diadakan di Tingkat 9, Wisma Bernama bermula 9 pagi.
Zaharin  berkata selama sepenggal menjadi presiden, beliau telah berusaha untuk mengemaskini data mengenai kesatuan dengan Jabatan Sumber Manusia di Kementerian Sumber Manusia.
“Kita kena kemaskini rekod terutama yang mereka tidak ada…jadi benda-benda tertunggak kita dah settlekan, kalau ada orang nak takeover kepimpinan tak jadi masalah,” katanya.
Kesatuan itu mempunyai 198 orang anggota dan ramai yang layak tidak menyertainya, kata beliau.
“Dalam perlembagaan kita, tak ada sebut gred untuk jadi ahli, part-timer boleh, kontrak pun boleh tetapi mesti mendapat gaji dari Bernama,” katanya.
“Kalau boleh, pengurus-pengurus tidak harus menyekat anak-anak buah mereka yang ingin menjadi ahli union,” katanya.
“Dengan menganggotai kesatuan, KPPB dapat cuba menyelesaikan sekiranya ahli menghadapi masalah.
“Lagipun penyertaan ini sudah menjadi sebahagian daripada yang sepatutnya…semua badan berkanun ada union dan kita ak buat pekerja lebih selesa, nak datang kerja pun seronok,” katanya.
Selain pemilihan, mesyuarat agung itu akan menumpukan kepada usaha untuk memperbaharui perlembagaan.
“Ada istilah-istilah yang tidak terpakai lagi dan ini kita hendak kemaskinikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment