Wednesday 4 September 2013

Pameran bersejarah...


Majlis Mesra Hari Raya Bernama di Hotel Grand Seasons Khamis lepas mencatatkan sejarah bagi Bahagian Pemasaran Foto apabila ia julung kali mengadakan pameran perkhidmatan Bernama.
“Apabila dimaklumkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat bahawa kita akan mengadakan pameran, cabarannya ialah mengumpulkan foto dan teks dalam masa yang singkat untuk tujuh perkhidmatan Bernama,” kata Farhan Mustafa dari Bahagian Pemasaran Foto.
“Cabaran itu bukan mudah kerana tidak semua bahan tersebut boleh diperolehi dari setiap bahagian dan memerlukan kreativiti iaitu dari bahan-bahan arkib Bernama dan diolah oleh penulis yang dilantik,” katanya.
Setelah bertungkus-lumus mengusahakannya, para petugas bahagian itu dapat melengkapkan kerja masing-masing. 
“Alhamdulillah pameran tersebut dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat, terima kasih kepada semua jawatankuasa dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang membantu menjayakan sesi red carpet (karpet merah) dan pameran ini,” katanya.
Farhan berpuas-hati kerana Bahagian Komunikasi Korporat memaklumkan bahawa pameran itu akan digunakan untuk acara-acara kementerian dan mana yang berkenaan pada masa akan datang.
Menurutnya, pameran itu, yang diletakkan di ruang legar ballroom hotel itu, membolehkan tetamu dan warga Bernama mengetahui dengan terperinci perkhidmatan-perkhidmatan Bernama.
Tujuh perkhidmatan yang dipaparkan ialah Pemasaran foto, Portal, Bernama Library and Infolink Services (BLIS), Media Relations dan Event Management (MREM), Newswire, Bernama Radio24 dan Bernama TV.
“Secara peribadi, saya rasa satu keseronokan sebab kita dapat mengadakan pameran ini dari kreativiiti serta mendapat maklumat dengan pergi dari satu jabatan ke satu jabatan… secara tak langsung dapat mengemaskinikan maklumat,” kata Farhan.
Di samping pameran itu, diadakan ruang karpet merah untuk membolehkan tetamu dan warga Bernama merakamkan foto serta menampilkan buku-buku ‘coffee-table’ terbitan Bernama – “Che Det”, “Pak Lah” dan Antartika.
Katanya, sesi fotografi dan "Print on the Spot" menjadi  pengisian majlis yang popular. Foto-foto tersebut boleh dimuat turun melalui http://images.bernama.com.
“Insya-Allah dengan kerjasama yang telah dibentuk dalam mengadakan pameran ini, ia akan dapat meningkatkan produktiviti demi kebaikan Bernama,” kata Farhan.










No comments:

Post a Comment