Sunday 22 September 2013

Ba'kelalan dalam ingatan...

Selepas 16 tahun meninggalkan Sarawak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Haji Amer Hamzah Md Sap, kagum dengan kemajuan pesat bandaraya Kuching yang dikunjunginya minggu lepas.
.“Dulu tak ada jambatan, sekarang ada dua, tiga jambatan, kalau saya jalan sendiri tanpa ada kawan di Kuching, saya rasa saya mungkin sesat, memang terkejut juga banyak kemajuan di sana,” katanya ketika diwawancara dalam siaran “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 (BR24) pagi ini.
Beliau berada di Kuching untuk mewakili Bernama pada perayaan Hari Malaysia dan Sambutan Ulangtahun ke-50 Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.
Dari 1991 hingga 1996, beliau menjadi ketua biro Sarawak dan melakukan perjalanan ke hampir seluruh negeri itu untuk membuat liputan berita.
“Negeri Sarawak hampir sama besar degan Semenjanjung, bayangkan semasa bertugas di sana, kita rasa negeri itu besar sangat untuk buat liputan,” katanya.
Antara banyak tempat yang dikunjunginya, beliau menyebut mengenai Ba’kelalan  di  mana seorang bekas wakil rakyat mengusahakan tanaman epal.
“Saya rasa kalau diusahakan dengan teratur, saya tak terkejut kalau kita boleh menjadi pengeksport epal,” kata Haji Amer, 57.
Ketika ditanya peneraju program Wan Yuzaini Wan Yahya mengenai peranan Bernama di negeri itu, beliau berkata dua peranan utama Bernama ialah menyebarkan maklumat mengenai Sarawak kepada masyarakat luar dan menyalurkan berita-berita dari luar kepada akhbar-akhbar Sarawak..
Sebagai contoh, beliau membuat liputan tuaian pertama epal di Ba’Kelalan yang dirasmikan oleh mendiang Datuk Ramsay Noel Jitam, ketika itu Menteri Muda Pertanian dan Industri Makanan  Sarawak.
“Dia kemudian ke Singapura dan terkejut apabila rencana yang saya tulis mengenai tuaian epal itu digunakan di sana….bila balik, dia maklumkan perkara itu kepada saya…dia tak sangka berita itu sampai ke luar negara,” katanya.
Peranan Bernama mengedarkan berita kepada akhbar-akhbar di Sarawak amat penting ke arah integrasi nasional.
“Walaupun Sarawak mempunyai banyak akhbar, mereka tak ada wakil di luar, jadi kebanyakan berita yang digunakan ialah berita Bernama,” kata Haji Amer, yang menyertai Bernama pada tahun 1980 selepas memperolehi Diploma Sebaran Am daripada Institut Teknologi MARA (sekarang Universiti Teknologi MARA).
Dalam rancangan hampir sejam itu, beliau juga ditanya mengenai pengalaman membuat liputan lawatan Perdana Menteri ke luar negara.
“Semasa ke London pada tahun 1985, pertama kali saya ke luar negara, saya berjumpa ramai orang dan mereka tanya saya dari mana… apabila saya kata Malaysia, mereka tak kenal dan ada yang tanya di mana Malaysia.
“Tapi apabila sebut nama Perdana Menteri kita Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir (Mohamad), mata mereka seolah-olah bersinar dan tahu siapa dia, saya waktu itu rasa bangga sangat…maknanya mereka lebih kenal pemimpin kita daripada negara kita,” katanya.
“Sekarang ini kita tak payah susah-susah lagi kerana Malaysia sudah dikenali,” kata Haji Amer, yang dilantik ke jawatan sekarang pada Julai lepas.
Secara peribadi, beliau berkata usaha memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat dunia banyak dilakukan oleh Tun Dr Mahathir terutama di kalangan negara-negara  Afrika dan Arab.
Mengenai tugasan membuat liputan lawatan Perdana Menteri di luar negara, beliau berkata para wartawan yang ditugaskan demikian sebenarnya “penat”.
“Ini kerana jadual Perdana Menteri yang ketat…kita kena berkejar ke sana sini, apabila acara tamat, kita perlu buat berita, hantar dan terus berkejar ke acara seterusnya.
“Selain disiplin masa, kita dah perlu ada dalam fikiran semasa acara berjalan apa yang hendak ditulis…jadi apabila tamat majlis, kita dapatkan komputer dan terus taip berita,” katanya.
Pada awal rancangan, beliau berkata walaupun ramai yang tidak berminat, penulisan berita ekonomi “tidaklah menakutkan”.
Ada kalangan wartawan yang merasa “sejuk-sejuk badan” apabila ditukarkan ke meja ekonomi tetapi setelah masuk, mereka berasa seronok, katanya.
“Ekonomi memainkan peranan yang besar untuk pembangunan negara…sebab itu penting kita tahu serba sedikit mengenai ekonomi.
“Lagipun kehidupan kita sentiasa ada hubungkait dengan ekonomi,” katanya.
Sebagai bekas pelajar Maktab Tentera DiRaja, Haji Amer turut ditanya bagaimana kehidupannya dicorak oleh pendidikan terutama mengenai disiplin.
“Sebelum memasuki RMC untuk tingkatan 4 pada tahun 1973, saya seorang yang agak malu…oleh kerana diberi tunjuk ajar cara keras…lama kelamaan menjadi darah daging terutama soal displin datang awal,” katanya.
Malah, beliau berada di stesen BR24 sejam awal daripada siaran.
“Kalau datang awal, kita lebih tenang fikiran dan boleh membuat persediaan…kalau lambat, tak tahu apa yang berlaku,” kata Haji Amer yang menekankan amalan itu kepada keluarganya.
Dilahirkan di Melaka, kesemua tujuh orang anaknya telah bekerja, yang bungsu berusia 23 tahun. Beliau mempunyai lima orang cucu.
Siaran radio itu turut didengari Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong melalui Ipad di Rusia.
Beliau dalam perjalanan pulang setelah menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) di ibu negara Rusia itu. 

No comments:

Post a Comment