Sunday 1 September 2013

"24-7" jadi budaya wartawan ...


Tangungjawab seseorang wartawan kini semakin meningkat dan sudah menjadi “budaya 24-7” (24 jam sehari, tujuh hari seminggu), kata Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times Abdul Rashid Yusof
“Tak boleh switch off lagi dan rehat sudah jadi konsep yang alien (asing),” katanya dalam rancangan bualbicara ‘Bersama Wartawan’ menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Beliau juga menyentuh mengenai dunia kewartawanan yang dinamik dengan penglibatan tenaga muda berkemahiran daripada bidang-bidang berkaitan.
“Dulu kita anggap kewartawanan dikuasai oleh lulusan kursus kewartawanan tetapi sekarang ada banyak displin, lebih luas skopnya…ini adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya..
Sebagai contoh, katanya, sekarang sudah ada yang mahir dalam segi menganalisis pendapat umum.
Pandangan anak-anak muda juga diambilkira dalam penggunaan sesuatu foto  serta grafik bagi ‘menguatkan’ lagi berita yang dipaparkan akhbar.
Penggunaan visual dan grafik adalah penting dari segi menggalakkan dan mendalami patriotisme dan nation-building (pembangunan negara).
Bagi memastikan syarikat akhbar itu mempunyai stamina dan tenaga untuk menghadapi cabaran, beliau berkata antara usaha yang dilakukan ialah keluar mendapatkan talent (bakat) baru untuk berkhidmat dengan akhbar itu.
Mengenai semangat patriotik di kalangan generasi muda yang dikatakan pudar, Rashid berkata ia satu persoalan yang agak subjektif.
Ini hanya dapat ditentukan dengan cara sama ada “kita boleh menilai dalam hati mereka berapa banyak sel-sel patriotik”.
Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab golongan muda untuk meneruskan kesinambungan negara setelah pembagunan serta perancangan dilakukan oleh generasi sekarang dan terdahulu.
Dalam program yang diterajui Wan Yuzaini Wan Yahya, beliau turut menyatakan rasa kesalnya terhadap mereka yang mudah mempercayai sesuatu perkara tanpa menyelidik punca kesahihannya.
Beliau memberikan contoh menjelang  pilihan raya umum baru-baru ini di mana “kita dikejutkan dengan berita 40,000 rakyat asing yang dikatakan datang ke negara ini untuk terlibat dalam pilihan raya”.
“Saya tak nak sentuh politik, tapi dalam soal news, ramai yang masih ‘gullible’ (mudah mempercayai sesuatu) dengan tidak bertanya kesahihan berita itu termasuk menyoal puncanya,” kata beliau.
Inilah contoh di mana content (kandungan) padu yang berkredibiliti dan beritegriti amat diperlukan dan media tradisional harus menggembeleng tenaga dengan banyak lagi pihak untuk tujuan ini.
Menurutnya, jika sesebuah negara mempunyai masyarakat yang mudah terbawa-bawa dengan berita palsu, ia harus diubati.
“Saya mengharapkan kepada pendengar yang bijaksana agar menasihati sahabat-sahabat yang lebih gemar membuat dakwaan atau telahan berdasarkan sumber berita yang tidak diketahui puncanya, supaya mengambil masa untuk menilai kesahihan sesuatu berita," kata Rashid.
Menurutnya, sebagai media arus perdana, akhbar itu bersedia menerima ‘teguran’ dan pandangan serta berjumpa dengan orang ramai atau melalui emel mengenai sesuatu isu.
Mengenai suasana Syawal yang masih dirasai, beliau berkata amalan rumah terbuka sudah menjadi budaya yang harus digalakkan.
“Ini perkembangan yang sangat bagus….saya tengok ziarah menziarahi ini konsep yang makin segar,” katanya.

No comments:

Post a Comment