Thursday 12 September 2013

Azeman buat liputan Haji...

  Ketua Biro Pulau Pinang, Azeman Ariffin kini berada di Tanah Suci untuk membuat liputan Haji. Beliau mula melaporkan dari Madinah sejak  5 September mengenai langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan sistem "City Check-In" di bandaraya itu mulai tahun ini bagi mempermudahkan jemaah haji Malaysia berlepas pulang ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.
  Seramai 22,320 jemaah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima  tahun ini,  berkurangan 20 peratus berbanding tahun lepas.
  Pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi untuk seluruh negara di dunia adalah disebabkan pelaksanaan kerja menaik taraf kawasan Masjidil Haram di Makkah.
  Saudara Azeman melaporkan mengenai ketibaan 450 orang dalam rombongan pertama Jemaah Haji Malaysia yang selamat tiba  di lapangan terbang antarabangsa Putera Mohamed Abdul Aziz di Madinah  kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) pada 7 September. Sebanyak 65 penerbangan dari Malaysia disediakan untuk membawa Jemaah Haji.
  Ratusan ribu umat Islam kini membanjiri kota Madinah sebagai tempat persinggahan awal sebelum ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah musim ini.
 Jemaah yang tiba awal itu adalah mereka yang mengerjakan Haji Tamattuk iaitu menunaikan umrah terlebih dahulu dalam musim haji sebelum mengerjakan ibadah haji pada bulan hadapan.
  Hari wukuf di Arafah dijadual pada 14 Oktober iaitu hari bermulanya kerja ibadah rukun Islam yang kelima itu.
  Menurut Azeman, Masjid Nabawi, iaitu masjid terletaknya makam Nabi Muhammad s.a.w. telah mula dipenuhi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.
Masjid terbesar di kota suci Madinah itu mampu menampung hampir sejuta jemaah pada satu-satu waktu solat.
  “Setiap kumpulan jemaah haji Malaysia akan berada di kota Madinah selama lapan hari sama ada sebelum bertolak ke Makkah ataupun selepas menunaikan haji mengikut giliran masing-masing yang ditetapkan oleh Tabung Haji,” menurut Azeman dalam laporannya.
  Tinjauannya mendapati  para peniaga di Madinah teruja dengan kehadiran jemaah haji Malaysia dan sering melaungkan kata-kata "Malaysia Bagus, Malaysia Boleh" untuk menarik perhatian jemaah.
  Kebanyakan peniaga boleh bertutur bahasa Melayu yang mudah dan menawarkan harga dengan menyebut angka dalam bahasa Melayu serta menarik perhatian pelanggan dengan berkata "jualan murah, harga rendah untuk rakyat Malaysia".

No comments:

Post a Comment