Tuesday 17 September 2013

UMS mahu kerjasama rapat dengan Bernama …

Sejak menjadi Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 1 Julai lepas, Datuk Prof Hamdan Adnan menumpukan usaha untuk meningkatkan kemahiran  para graduannya.
“Kita nak mengeluarkan graduan untuk negara yang boleh bertindak dan berfikir pada peringkat global, bukan setakat kampung.
“Kita juga nak ambil para pelajar dari kalangan miskin tegar agar mereka boleh menjadi contoh kejayaan pada masa depan,” katanya ketika berkunjung ke Wisma Bernama bersama-sama Encik Lokman Abdul Samad, pegawai khas Naib Canselor UMS.
Sempena 20 tahun penubuhan UMS pada tahun depan, beliau berharap dapat mengadakan memorandum persefahaman dengan Bernama untuk meningkatkan kerjasama di Sabah. 
“Selain menempatkan pelajar di Bernama, kita boleh salurkan hasil penyelidikan untuk dilaporkan oleh Bernama,” katanya.
Kerjasama itu pula bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga radio dan televisyen memandangkan Bernama mempunyai Bernama Radio24 dan Bernama TV.
Prof Hamdan berkata UMS dan Bernama boleh bekerjasama mengadakan kajian tahap profesionalisme wartawan komuniti.
“Kita boleh melihat setakat mana kita boleh terlibat untuk meningkatkan kemahiran mereka kerana kalau dibiarkan ‘wartawan-wartawan’ ini akan timbul perkara-perkara yang tidak mengikut etika kewartawanan,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1995, Sekolah Sains Sosial UMS kini menawarkan enam  program pengajian iaitu Komunikasi, Hubungan Industri, Sosiologi dan Antrapologi, Hubungan Antarabangsa, Geografi dan Sejarah.
“Kita juga boleh mengadakan bengkel liputan luar bandar kerana kita lihat Sabah sebagai kawasan luar bandar yang masih luas.
“Kita boleh menjemput seberapa ramai stringer Bernama di Sabah untuk meningkatkan kemahiran  mereka agar dapat memantapkan keupayaan mengenali isu-isu di Sabah seperti pemantauan projek-projek pembangunan,” katanya.
“Stringers mampu memberi liputan menarik di Sabah dan ini juga supaya liputan luar bandar diberi penekanan,” kata Prof Hamdan yang mempunyai pengalaman 30 tahun berkhidmat dengan Universiti Teknologi MARA (UITM).
Beliau menjadi Ketua Jabatan Komunikasi Massa ITM Shah Alam antara 1984 hingga 1988, di mana antara sumbangan besar beliau ialah memulakan Kajian Luar Kampus bagi jurusan itu pada tahun 1986.
Ramai wartawan Bernama mengikuti pengajian luar kampus itu untuk meningkatkan kemahiran professional di samping pengalaman bekerja.
Semasa di ITM, Prof Hamdan pernah mewakili universiti pada mesyuarat lembaga pengelola Bernama.
“Ada satu masa itu, Bernama nak kurangkan stringer, saya bantah sebab Bernama seharusnya berupaya mendapatkan maklumat dari seluruh negara,” kata beliau yang menjadi wartawan pelatih selama dua bulan di Bernama pada tahun 1974. 
Di pejabat Bernama Kota Kinabalu hari ini, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Zakaria Wahab mengadakan pertemuan dengan para petugas diketuai pewarta negeri Encik Newmond Tibin. Datuk Zakaria berada di Kota Kinabalu untuk mewakili Bernama pada sambutan Hari Malaysia dan Perayaan 50 Tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia, semalam. 

No comments:

Post a Comment