Thursday 26 September 2013

Beriyani kambing, roti nan New York ...



Editor Meja Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Haji Khairdzir Md Yunus kini berada di New York untuk meneruskan liputan lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat.
Beliau dan ketua jurufoto Mustaza Mohd Yusoff sebelum ini membuat liputan acara Datuk Seri Najib Tun Razak di San Francisco.
Setelah ‘check-in’ hotel di New York, Haji Khairdzir berkata beliau belum sempat membeli nombor tempatan untuk telefon ‘mobile’ sebab “nak keluar beli pun tak sempat”.
Acara Perdana Menteri yang amat padat membuatkan mereka begitu sibuk, katanya.
Ketika ditanya bagaimana beliau menghantar berita, beliau berkata:
“Kalau dari bilik hotel saya guna (sistem) Best. Kalau di luar ikut yang mana sempat -- Best newsroom atau email.
“Kadang-kadang buat catatan pakai Blackberry atau Samsung Galaxy Tab 7.0 dan email kepada diri sendiri.
“Apabila balik ke bilik hotel, cut and paste ke Best sistem dan hantar ke hq,” katanya dalam ‘perbualan’ menerusi Facebook.
“Saya sihat bro. Takda masalah. Makan pun ok.
“Tidak jauh dari hotel ada kedai India macam kedai mamak Malaysia.
“Ada nasi beriyani kambing, roti naan etc. So makan no prob. Tq bro.”
Menurutnya, gerai makanan halal kebab dan sebagainya pun banyak di tepi jalan.
Bagaimana dengan teh tarik?
“Teh tarik setakat ni tak jumpa lagi. Tapi restoran yang diusahakan oleh Nani Yusuf, Mamak House sure ada punya.
“Saya pun tak sempat jumpa Nani lagi cuma communicate dalam FB je,” katanya.
Nani, yang pernah menjadi wartawan Bernama di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kini menetap di New York bersama suami dan anak.
Beliau masih menulis secara sambilan untuk Bernama terutama bagi acara-acara di New York.
Sejak Mei lepas, Nani semakin teguh bertapak di negara itu dengan mengusahakan restoran Mamak House di Flushing, Queens.
Ia menyajikan menu halal masakan negeri kelahirannya – Pulau Pinang.
Nasi kandar daging atau udang, ayam rendang; rendang kambing, kari kepala ikan, asam pedas; kari ayam; roti canai; crispy okra; cendol; bubur pulut hitam dan teh tarik adalah antara sajian utama.
Akhbar termasuk New York Times telah menulis rencana memuji kenakan masakannya manakala ramai pengunjung yang mempunyai blog telah mencatatkan mengenai sajian makanan itu yang menambat hati mereka.  

No comments:

Post a Comment