Monday 23 September 2013

'Broker saham' dalam bayangan Mujahid....

Sebelum menyertai Bernama, Muhammad Mujahid Ishak membayangkan kerja seorang wartawan tidak ubah seperti broker saham.
“Saya pernah tengok filem ‘orang Putih’,  dia pegang telefon kiri, kanan.
“Mula-mula saya ingat kerja pemberita lebih kurang macam itu…macam broker saham, tapi bila dah masuk tak adalah…,” katanya sambil tersenyum.
Orang muda berusia 24 tahun itu melaporkan diri sebagai penyunting di Meja Bahasa Arab pada 17 September lepas.
Beliau lulusan Sarjana Muda Pengajian Arab Tamadun Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.
Menurutnya, semasa di universiti, banyak subjek yang perlu diambil dan ini ‘mendekatkan’ beliau kepada berita bahasa Arab Bernama.
Daripada bacaan akhbar, beliau tahu bahawa Bernama adalah sebuah agensi berita yang membekalkan berita kepada akhbar sebagaimana agensi-agensi berita terkemuka asing.
Beliau semakin mengenali Bernama setelah memulakan pengajian tahun 1 pada 2010 kerana tugasan yang perlu dibuat.
“Tiap-tiap minggu kena pergi ke makmal untuk mendapatkan artikel daripada Bernama Arabic,” katanya.
“Saya tahu Bernama mempunyai hubungan dengan 18 agensi berita di Timur Tengah dan ini membolehkan saya melihat penggunaan bahasa dan istilah mereka,” katanya.
Mujahid berkata pensyarahnya memperkenalkan Bernama Arabic kepada para pelajar sehingga ia menjadi popular di Fakulti Pengajian Islam.
“Saya tengok tugasan pelajar selepas saya bukan sahaja perlu terjemah berita Bernama Arabic ke  dalam bahasa Malaysia tetapi juga bariskan huruf dalam artikel itu,” katanya.
Para pensyarah turut menggalakkan para pelajar membaca artikel Bernama Arabic bagi meningkatkan pengetahuan walaupun “kita tak pergi ke Timur Tengah”.
“Saya memang betul-betul ingat mengenai Bernama Arabic ini apabila pensyarah meminta seorang pelajar yang membuat kesilapan supaya mendapatkan 15 artikel Bernama untuk diterjemah,” kata anak tunggal itu yang  tinggal dengan ibubapanya di Bangi.
Perkhidmatan berita Bahasa Arab dimulakan pada tahun 2003 untuk menyokong usaha kerajaan menggalakkan hubungan lebih rapat dengan negara-negra Islam. 
Ia diletakkan di bawah Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) dan menyalurkan berita mengenai Malaysia kepada agensi-agensi berita di 18 negara Arab di Timur Tengah dan Afrika Utara setiap hari.

No comments:

Post a Comment