Thursday 26 September 2013

Kasim sahut Lambaian Kaabah…

Impian jurufoto kanan Kasim Saad menunaikan Haji semakin menjadi kenyataan.
Beliau dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio-visual Mokhtar Hussein dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 2 Oktober dan pulang 26 Oktober.
Pemergian mereka atas undangan kerajaan Arab  Saudi yang saban tahun membuat pelawaan itu kepada para petugas media dari negara-negara Islam.
“Setelah dapat confirmation dua minggu lepas bahawa saya akan pergi, saya bersyukur sangat-sangat.
“Alhamdulillah, bukan senang nak dapat tawaran macam ini,” kata Kasim, 49.
Sebagai persiapan, beliau menjalani kursus mengenai Haji dengan seorang Ustaz di surau di kawasan rumahnya.
“Selain itu, saya membaca buku untuk mendalami Rukun Haji serta tengok internet.
“Saya juga bertanyakan kawan-kawan yang sudah mengerjakan Haji…Hammad Wariman misalnya banyak membantu,” kata Kasim.
Banyak kawan yang sudah berpesan supaya mendoakan untuk mereka semasa beliau berada di Tanah Suci, kata Kasim yang telah berkhidmat selama 17 tahun di Bernama.
Sebelum itu, beliau bertugas dengan akhbar yang telah ditutup,  Watan selama dua tahun.
“Saya diambil bekerja oleh Watan selepas tamat membuat kursus peralihan selama enam bulan,” katanya.
Beliau menjalani kursus itu setelah tamat tempoh perkhidmatan sebagai anggota tentera laut selama 13 tahun.
“Habis sahaja SPM, saya masuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada usia 18 tahun di  Lumut.
“Pada peringkat permulaan, belayar tu tak usah ceritalah, dah ke merata tempat,” katanya.
Kasim kemudiannya ditukarkan ke Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menjadi jurufoto di Jabatan Arah Risik Laut selama tujuh tahun.
Beliau mempunyai tiga anak lelaki – yang sulung berusia 24 tahun dan bekerja dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara.
Anak kedua berumur 22 tahun menuntut dalam jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak manakala anak ketiga berusia  18 tahun mengikuti pengajian peringkat diploma dalam pengurusan pelabuhan di Kemaman.

No comments:

Post a Comment