Sunday 29 September 2013

Impian lahirkan lebih ramai 'Kajai'...

Penolong Pengarang Kosmo! Ahad Faizal Zakaria, yang memenangi Hadiah Kajai pada tahun 2004, berazam melahirkan lebih ramai wartawan yang mendapat anugerah tertinggi kewartawanan negara itu.
“Ramai orang kata saya berjaya tetapi kejayaan seseorang itu lebih bermakna jika dapat melahirkan ramai orang yang berjaya.
“Cita-cita saya ialah hendak melahirkan lebih ramai pemenang Kajai,” katanya dalam program “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 (BR24) pagi ini.
Bapa kepada empat cahayamata itu berkata kewartawanan terbuka untuk semua tetapi memerlukan pengorbanan.
“Kena ada passion, semangat berkobar-kobar yang mengambil masa hidup kita secara total, dikorbankan kepada kerjaya, kalau tak ada sifat berkorban, susah nak berjaya.
“Kewartawanan adalah kerjaya dan bukan setakat nak dapat kerja,” kata Faizal yang memegang jawatan sekarang sejak tiga tahun lepas.
Dalam program selama 40 minit itu, beliau menceritakan pengalamannya yang menjadi wartawan secara kebetulan setelah mengenepikan impian melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Selepas memperolehi diploma mikrobiologi dari Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1997, beliau berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.
“Bagaimanapun tahun itu merupakan tahun yang sukar bagi semua orang. Banyak tajaan melanjutkan pelajaran dibatalkan dan saya adalah antara orang-orang yang kecewa itu.
“Saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan bidang perubatan tetapi mencari bidang lain,” katanya.
Ketika itu beliau melihat banyak tawaran kerja dalam bidang komunikasi korporat di akhbar-akhbar dan memohon mengikuti bidang tersebut walaupun  tidak mengetahui langsung mengenainya.
“Sebelum itu, banyak masa di makmal deal dengan kuman dan berpakaian putih, kononnya macam doktor,” katanya mengimbau waktu mengikuti jurusan mikrobiologi..
Beliau meneruskan pengajian ijazah pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dianugerahkan  Bacelor Komunikasi Korporat pada tahun 2002.
Akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan, beliau meneruskan pengajian pada peringkat sarjana di Universiti Teknologi Mara (UITM) pada tahun sama.
“Saya hanya meminati komunikasi apabila buat masters, banyak teori dan sebab dia relate dengan kita,” katanya yang memperolehi sarjana komunikasi massa  dari UITM pada tahun 2005.
Faizal berkata beliau menjadi  wartawan secara kebetulan apabila teman sekuliahnya yang bertugas sebagai penolong pengarang di Utusan Malaysia menjemput beliau menyertai akhbar itu.
“Saya masuk Utusan dan join Kosmo apabila akhbar ini dibuka,” kata Faizal.
Ketika ditanya oleh peneraju  Wan Yuzaini Wan Yahya cabaran yang dihadapinya sewaktu awal menjadi wartawan, beliau berkata dua perkara yang tidak digemarinya iaitu menulis dan mengajar akhirnya dapat diatasi setelah menjadi wartawan.
“Tak ada short cut, kena  belajar dan  banyak membaca….kita boleh buat jika ada sikap positif  untuk sahut cabaran.
“Saintis manalah tahu tulis dengan betul, kalau tak tahu (menulis) tanya senior, dia akan basuh kita, dia akan beri kata-kata nasihat, pesanan mesra tapi akhirnya pesanan itu yang boleh membantu kita.
“Kalau kita ada satu pilihan, itulah satu-satunya, maka kita kena buat betul-betul, buat bersungguh-sungguh...kalau kita anggap wartawan sebagai kerjaya sampingan, ia tak menjadi,” katanya.
Walaupun telah memenangi Hadiah Kajai, Fadzil berkata kemenangan itu hanya sedikit.
Beliau merasakan  baharu nak beralih kepada peringkat kanak kanak kerana pengalaman 20 tahun baharu boleh dianggap wartawan sebenar dan  30 tahun wartawan sejati.
Ketika ditanya sama ada latarbelakangnya dalam mikrobiologi membantu dalam kerjanya sebagai wartawan, Faizal berkata ia memang sangat membantu.
“Bidang sains mengajar kita memahami satu-satu proses dan buat kesimpulan, begitulah juga membantu dalam pemberitaan terutama investigative journalism,” katanya.
Beliau memberikan contoh dalam ubat-ubatan yang mana ramai orang boleh mendakwa mengeluarkan ubat tetapi adakah ia selamat.
Faizal memenangi Hadiah Kajai 2004 melalui penulisannya mengenai isu pencemaran air di Lembah Klang.
Artikel dua siri bertajuk Air Tercemar itu ditulis berdasarkan laporan saintifik terhadap sampel air paip daripada lebih 20  lokasi sekitar Lembah Klang.
Keputusan makmal mendapati sejumlah sampel air tidak memenuhi piawaian minimum berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Antara lain, air berkenaan didapati mengandungi pencemaran yang dikhuatiri boleh menyebabkan kesan kesihatan kronik termasuk kemungkinan mendapat kanser.
Pendedahan itu menyebabkan Menteri, Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik mengarahkan Perbadanan Urus Air Selangor Bhd. (kini dikenali sebagai Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) untuk mempercepakan penukaran paip air usang di seluruh Selangor dan Wilayah Perekutuan.
Faizal berkata kemenangan itu memberikan “feel-good effect” kepadanya kerana dapat melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat.
“Ia mengubah sedikit  pandangan orang ramai terhadap Kosmo yang ketika itu  dilihat sebuah akhbar baru, timbul persepsi bahawa Kosmo memperjuangkan hak-hak penguna….kemenangan ini membantu meningkatkan circulation dan  akhbar ini dilihat sebagai akhbar kepenggunaan,” katanya.
Ketika ditanya langkah yang diambilnya untuk menghasilkan laporan berkenaan, Faizal berkata ketika diberi tugasan mengenai air tercemar itu, beliau perlu memikirkan bagaimana untuk membuktikannya.
“Kita hantar sampel-sampel air ke makmal Sirim, kita ada pakar-pakar air di Malaysia yang boleh menjadi rujukan,  kita call dan jumpa,” kata beliau yang mengambil masa sebulan untuk membuat penyelidikan bagi artikel berkenaan.
Katanya, penemuan mengenai air tercemar itu “mengejutkan” beliau memandangkan Lembah Klang ketika itu mempunyai empat juta penduduk.
“Saya sebagai orang yang terlatih dalam bidang saintifik sedar bahawa kita tak boleh beri air tercemar kepada masyarakat kerana akhirnya mereka akan sakit dan menjejaskan negara dari segi kos rawatan,” katanya.
“Saya telah dihubungi oleh seorang pakar gigi yang menjemput saya ke rumahnya di Serdang…dia tunjukkan air di rumahnya yang mempunyai  result  yang sama dengan apa yang saya laporkan,” katanya.
Artikel itu menjadi titik-tolak kepada kewartawanan penyiasatan di akhbar itu dengan menumpukan kepada isu-isu lain yang menyentuh kepetingan pengguna.
Faizal juga menceritakan mengenai tulisannya mengenai cetak rompak yang akhirnya menyebabkan tempat berkenaan “bersih” daripada gejala itu.
Pengalaman itu bagaimanapun mengajarnya untuk menyemak berkali-kali sesuatu maklumat sebelum menerbitkan artikel.
“Kita kena mempunyai banyak sumber, kalau  satu itu kita boleh anggap sebagai memberi maklumat dan menjadi tanggungjawab kita untuk melihat perspektif lebih luas, merangkumi semua sudut,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi  akhbar, beliau berkata:
“Paling besar dalam dunia kewartawanan ialah bagaimana nak isi akhbar untuk hari esok…akhbar hari ini bukan seperti dulu, wajah baru, pengisian baru kerana sekarang ini macam-macam persaingan, akhbar perlu lebih kepada berita eksklusif, kalau tidak, ia tak terjual,” katanya.
Apa lagi yang dikejarnya setelah memenangi Hadiah Kajai?
“Saya sekarang dalam peringkat berkongsi pengalaman, macam mana nak fikir secara kreatif dan melihat isu dari perspektif berbeza.
“Saya ingin menulis berita yang luar dari kebiasaan, yang mencabar minda,” katanya.


No comments:

Post a Comment