Friday 27 September 2013

Menyemai minat kewartawanan...


Cikgu Khaw Wei Young adalah antara tenaga muda yang menawarkan diri untuk  mengajar di sekolah yang amat memerlukan perhatian di bawah program ‘Teach For Malaysia’.
Beliau yang mengajar Sejarah ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutchings, Pulau Pinang untuk tempoh dua tahun.
“Saya baru mengajar tak sampai setahun,” katanya ketika mengiringi 30 murid sekolah lelaki itu ke Wisma Bernama hari ini.
Lawatan bertujuan mendedahkan murid-murid Tingkatan Empat itu kepada alam kewartawanan agar dapat memupuk minat mereka terhadap kerjaya berkenaan.
Cikgu Khaw, 24, berkata lawatan itu merupakan susulan kepada kunjungan Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong ke sekolah tersebut menerusi program pendidikan itu.
“Teach For Malaysia” ialah sebuah pertubuhan tidak mencari keuntungan yang mempunyai misi untuk menggalakkan  pendidikan di seluruh negara.
Mereka yang terpilih di bawah program itu dipanggil “Fellow” dan ditempatkan di sekolah yang amat memerlukan di seluruh negara.
Antara peranan mereka ialah berusaha meningkatkan pencapaian murid-murid serta mendorong perubahan positif dalam masyarakat di mana mereka bertugas.
Selepas dua tahun, para “Fellow” akan menjadi Alumni gerakan Teach For Malaysia yang berusaha membawa perubahan jangka panjang secara sistematik untuk menggalakkan pendidikan.
Datuk Yong menyambut kehadiran rombongan pelajar itu sebagai tindakan susulan program “Teach For Malaysia”.
“Aktiviti CSR ini dikendalikan dengan bantuan Haji Nasir Yusof dan Pusat Kecemerlangan.
“Adalah diharapkan ini menjadi titik permulaan usaha Bernama menyemaikan minat antara golongan muda dalam kerjaya kewartawanan,” katanya.
Aktiviti simulasi sidang akhbar dan kapsyen bergambar turut diadakan bagi membolehkan para pelajar itu merasai menjadi wartawan.

No comments:

Post a Comment