Saturday, 30 September 2017

Wartawan Bernama antara pemenang Anugerah Media MIDA 2017

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohd Khairi Idham Amran muncul antara pemenang Anugerah Media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sempena sambutan ulang tahun ke-50 agensi itu di ibu negara malam ini.
Wartawan Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama itu mendapat tempat kedua dalam kategori portal berita dalam talian dan media cetak (Berita dan Rencana) menerusi artikelnya 'Malaysia Works at Cultivating Strong Economic Ties with China'.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Wartawan The New Straits Times, Rupa Damodaran menjuarai kategori itu dan memenangi wang tunai RM5,000 menerusi artikelnya, 'MIDA Sees Brighter Investment Climate'.
Wartawan-wartawan lain yang menerima hadiah sagu hati RM1,000 adalah dari Harian Metro, Sin Chew Daily and Utusan Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah itu yang bertujuan mengiktiraf dan menghargai sokongan media sebagai medium menghubungkan agensi itu dengan pemegang kepentingannya dan orang awam.
Dalam kategori portal berita video, penyiaran, televisyen dan media elektronik (Berita /Dokumentari /Rencana), pemenang tempat pertama adalah Farahiah Mohd Zubir dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi rencananya 'Reaksi Pelabur Jerman Mengenai Pelaburan ke Malaysia'. Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Hadiah sagu hati bagi kategori ini diterima oleh Astro Awani menerusi rencana bertajuk 'Malaysia Tarik Pelabur Sebagai Pengerusi ASEAN'.
Sejumlah RM19,000 hadiah wang tunai disampaikan kepada pemenang dalam kedua-dua kategori.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment