Thursday, 21 September 2017

Peserta Kembara Inspirasi Haji tiba di tanah air...

Setelah mengharungi perjalanan darat merentasi 10 negara untuk ke Makkah bagi mengerjakan ibadah haji, lapan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) selamat tiba di tanah air hari ini.
Mereka nyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila kelihatan tersenyum lebar ketika melangkah keluar dari balai ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebaik melihat wajah keluarga masing-masing setelah lebih dua bulan tidak bertemu.
Kumpulan itu yang turut disertai Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan, tiba pada 1.50 tengah hari melalui pesawat SriLankan Airlines.
Abdul Rahman yang pernah mengerjakan ibadah haji pada 2004, berkata beliau berasa bertuah dapat mengikuti KIH kerana pengalaman kali ini sangat membuka matanya terhadap kebesaran ciptaan Allah S.W.T.
"Sebelum pergi, saya berasa sedikit bimbang tetapi saya bersyukur sepanjang perjalanan, walaupun ada cabaran, tetapi perjalanan kami dipermudahkan dan dapat melaluinya dengan lancar," katanya.
Abdul Rahman berkata sebagai wartawan, perjalanan darat sejauh 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), juga memberi banyak inspirasi kepadanya untuk menulis antaranya mengenai keindahan kawasan yang dilalui dan pertemuan dengan penduduk tempatan.
Katanya, terdapat cabaran yang tidak diduga apabila mereka ditahan selama kira-kira setengah jam di sebuah balai polis di Xinjiang, China kerana solat di sebuah masjid.
"Di situ hanya dibenarkan solat di masjid dalam tempoh tertentu selepas masuk waktu solat, tetapi kami lewat tiba di masjid tersebut. Kami bernasib baik kerana ketua polis di situ beragama Islam," katanya.
Pengerusi Pertubuhan Kembara Amal (#PeKA) Khir Ariffin, melahirkan rasa syukur mereka dapat pulang dengan selamat, sambil menyifatkan ia pengalaman paling berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh semua peserta.
"Walaupun pelbagai cabaran kami hadapi sepanjang perjalanan, namun kami mendapat kepuasan apabila bertemu dan beramah mesra dengan orang tempatan di negara-negara yang kami lalui.
Ada antara mereka yang berkata kembara ini memberi inspirasi kepada mereka sehingga ada yang ingin turut serta jika kami ingin melakukan kembara lagi," katanya kepada pemberita.
Khir yang juga ketua kembara itu, berkata #PeKA telah melaksanakan program kembara sambil beramal sejak 2011 dan ini adalah kali pertama pertubuhan itu menganjurkan kembara ke Makkah.
"Antara aktiviti sepanjang KIH ialah menyalurkan bantuan makanan kepada pelarian di Bangkok, menziarahi keluarga nomad di Kyrgyzstan dan mengagihkan makanan kepada jemaah haji di Makkah," katanya.
Bagi satu-satunya peserta wanita, Zuraini Abdul Malek, 36, beliau tidak teragak-agak mengikuti suaminya Jasmi Jantan, 46, dalam KIH kerana ingin memperoleh pengalaman. 
"Perjalanan ini sangat menguji mental dan fizikal, apatah lagi saya bertanggungjawab memasak untuk anggota kembara. Bagaimanapun, suami saya banyak membantu," katanya.
Pengembaraan lapan peserta itu akan disiarkan dalam dokumentari 13 episod yang akan diterbitkan oleh Bernama News Channel.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment