Wednesday, 20 September 2017

Biro Kedah perkenal insentif petugas cemerlang...

Walaupun disengat tebuan dan demam, namun wartawan Hasnah Jusid tetap membuat liputan acara perahu layar semasa Sukan SEA di Langkawi baru-baru ini.
“Kaki dia berlubang masa tu,” kata Ketua Biro Kedah Zabidi Ishar yang terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Hasnah.
Disebabkan kesungguhannya menjalankan tugas, Hasnah menerima ‘insentif petugas cemerlang Biro Kedah’ yang diperkenalkan oleh Zabidi sebagai dorongan kepada para petugas.
“Dia saya pilih kerana bekerja dengan tekun dan telah melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh…tidak pernah mengatakan tidak dalam bekerja,” katanya.
Hasnah yang berasal dari Kampung Sumbilingon, Kota Marudu, Sabah kini masuk tahun ketiga bertugas di Kedah.
“Saya wujudkan insentif petugas cemerlang bagi Biro Kedah sebagai penghargaan baik kepada reporter, kumpulan sokongan, teknikal dan juga stringer yang mempamerkan mutu kerja terbaik dari segi disiplin dan sebagainya.
“Saya berikan saguhati sebanyak RM50 serta surat penghargaan saya sebagai ketua biro,” kata Zabidi.
Menurutnya, insentif itu akan diberikan setiap dua bulan dengan yang pertama telah disampaikan pada 14 September lepas untuk bulan Julai dan Ogos.
“Bukan sangat wang yang mennjadi ukuran tetapi sebagai penghargaan saya kepada mereka yang cemerlang,” kata Zabidi yang masuk tahun kedua sebagai ketua biro itu.
“Petugas saya merangkumi dua reporter, seorang teknikal, seorang jurufoto dan enam stringer,” katanya.
“Maknanya untuk September dan Oktober nanti akan ada seorang lagi yang akan saya pilih untuk menerima insentif,” katanya.
Katanya,  apa yang mendorong beliau mengadakan inisiatif itu ialah sebagai satu cara menghargai para petugas yang menunjukkan mutu kerja yang terbaik serta boleh menjadi motivasi kepada semua staff dan stringer di biro.
Perkembangan kerjaya Zabidi sendiri di Bernama sejak 26 tahun lepas boleh menjadi inspirasi kepada “anak-anak buahnya”.
Bermula sebagai pembantu am rendah dan kerani, Zabidi mengorak langkah memajukan diri dengan mengikuti Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Semasa di Kelantan, saya kerani dan masa tu saya sambung belajar pada tahun 2008…buat program jarak jauh, setiap hujung minggu masuk kelas di Pusat PJJ di Wakaf Bharu, Tumpat.
“Setiap semester dua kali jumpa pensyarah di UPM, Serdang,” katanya mengenai pengajian selama empat tahun itu.
Dengan ijazah sarjana muda dalam jurusan komunikasi yang diperolehinya, Zabidi semakin mantap sebagai wartawan setelah menjadi stringer sejak 2005.
Sebelum menjadi Ketua Biro Kedah, beliau diberi kepercayaan sebagai pewarta di Muar setelah dilantik sebagai wartawan di Kelantan.
“Bagi saya, setiap petugas berhak untuk meningkatkan diri jika kita mahu.
Di Bernama lah peluang ini saya dapat melalui kerjasama ketua biro dan staf di Kelantan waktu tu.
Melalui Bernama juga apa yang saya lakukan diiktiraf usaha saya itu sehingga saya dilantik menjadi wartawan sehinggalah menjadi ketua biro.
Ia satu pengalaman kerja yang mungkin tiada di tempat lain.
Bagi saya sokongan ketua jugalah yang mampu memotivasikan petugas bawahan sehingga apa yang saya dapat hari ini di Bernama,” kata Zabidi, 48, yang mempunyai dua anak remaja – lelaki berusia 20 tahun dan perempuan berumur 16 tahun.
Anak lelakinya sedang mengikuti pengajian komunikasi massa di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) manakala anak perempuannya bersekolah dalam tingkatan 4  di Kelantan. Isterinya, seorang guru di Kelantan.
“Saya dari Lenggong, Perak dan isteri saya orang Gerik, Perak tetapi bila dah lama di Kelantan, kami beli rumah di Kubang Kerian,” katanya.

No comments:

Post a Comment