Tuesday, 26 September 2017

Cekal meneruskan hidup...

Kecacatan hanyalah satu perkataan bagi jurutera Khairull Hafiz Ismail yang tabah menghadapi kehidupan walaupun kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalanraya.
Malah, beliau tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk meneruskan aktiviti lasak – menunggang motosikal berkuasa besar,  menyertai marathon, pertandingan mountain bike dan yang terbaharu – berenang.
Berkongsi pengalaman dalam segmen ‘Inspirasi Pagi’ siaran NINE11 menerusi Bernama News Channel (BNC) pagi ini, Khairull menjelaskan tujuan beliau mencabar diri untuk melakukan aktiviti-akiviti itu.
“Memanglah persepsi masyarakat bahawa apabila melihat sesorang menjadi kurang upaya atau mendapat kecacatan, mereka akan memberi simpati,” katanya.
“Itulah sebab apa yang saya buat…saya nak buktikan kepada diri sendiri dan orang ramai bahawa hidup kita tidak berakhir sekiranya tidak ada kaki,” kata lulusan kejuruteraan mekanikal University Wisconsin itu.
Kehidupannya berubah apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah lori pasir di persimpangan Lebuhraya Damansara Puchong-KESAS ketika dalam perjalanan ke pejabat pada 26 Ogos 2005.
Beliau terperosok ke bawah lori dan kemalangan itu menyebabkannya hilang kaki kiri dari paras lutut, separuh ibu jari kaki kanan dan pahanya patah.
“Saya sebenarnya waktu itu baru berusia 25 tahun dan baharu membina kehidupan dan kerjaya,” katanya.
Khairull ditanya apa yang menguatkan semangatnya untuk menghadapi saat tersebut.
“Alhamdulillah dengan sokongan keluarga dan saya sendiri terlibat dalam decision making sama ada hendak potong atau tidak kaki saya, ia memudahkan proses untuk sembuh.
“Selepas tiga kali operation dan masih tidak dapat diselamatkan kaki saya, saya redha dan terima hakikat itu,” katanya.
“Apabila kita terima keadaan, mudah bagi kita untuk ‘move on’.
“Semasa terlantar ketika proses pemulihan, saya berulangkali menyatakan pada diri sendiri bahawa kalau saya menangis air mata darah sekalipun, belum tentu kaki saya boleh kembali.
“Sekarang saya tak ada kaki, jadi apa yang saya boleh buat untuk meneruskan hidup, bukan dwell on the past,” katanya.
Selepas enam bulan menjalani rawatan pemulihan, beliau boleh menggunakan kaki palsu tetapi pilihan sangat terhad pada waktu itu.
‘Tidak banyak kaki palsu yang boleh padan dengan lifestyle saya sebagai seorang yang aktif.
“Saya banyak bersukan, menunggang motosikal serta perlu ke luar negara memasuki ladang kerana saya bekerja dengan syarikat perladangan.
“Memandangkan tidak banyak pilihan pada masa itu, saya menggunakan apa yang ada walaupun sakit untuk banyak berjalan atau menunggang motosikal.
“Saya pernah crash di litar Sepang kerana kaki saya cramp semasa menunggang motosikal dan tidak dapat mengawalnya.
“Alhamdulillah dengan peningkatan teknologi serta saya dapat mengumpul duit, kaki saya sekarang yang lebih ringan tetapi kuat membolehkan saya aktif dan selesa bagaikan hampir kaki normal," katanya.
Menurutnya, dengan kaki baharu itu, perkara pertama yang dilakukannya  ialah menyertai marathon sedangkan sebelum itu beliau tidak pernah berlari langsung.
Bermula pada tahun 2012 dengan menyertai maratahon di Bukit Jalil, Khairull mengakui bahawa sememangnya berasa penat dan mahu ‘give-up’ pada mula-mulanya.
“Tapi bila saya dapat potong pelari lain, semangat saya naik dan makin kuat apabila boleh pintas yang lain-lain sampailah apabila masuk stadium, people were cheering me up, lagilah bersemangat,” kata Khairull yang terus berlari sehingga hari ini.
Beliau menghargai jasa dan sokongan ibunya  yang berada bersamanya “every step of the way” dalam memberi semangat untuk beliau sembuh sejak ditimpa kemalangan.
“Saya rasa kalau saya give-up dalam kehidupan, sia-sia sahajalah usaha mak saya,” kata Khairull yang turut bersyukur mendapat sokongan dan kasih sayang isteri.
“Alhamdulillah isteri saya banyak memberikan semangat untuk membuat benda lain seperti wall climbing di mana dia hand-in-hand dengan saya.
“Tahun lepas dia push saya untuk buat satu perkara yang saya tak pernah buat dan takut iaitu berenang.
“Dia carikan coach yang sesuai sebab saya dah jumpa banyak trainer tapi masih tak boleh,” katanya.
Setelah boleh berenang, Khairull kini berharap dapat menyertai acara triathlon yang menggabungkan renang, berbasikal dan larian.
Selain melakukan aktiviti lasak yang merupakan hobinya, Khairull berkata kepuasan sebenar beliau ialah apabila dapat berjumpa orang yang senasib dengannya dan berkongsi pengalaman.
“Alhamdulillah, saya ada beberapa success story mengenai mereka yang telah dapat mengubah sikap untuk terus hidup,”    
“Ada seorang yang tak mahu bangun selama tiga bulan selepas kakinya dipotong kerana diabetes.
“Apabila saya datang dan berbual-bual dengannya, the first thing yang dia buat ialah minta anaknya tegakkan dia…lepas itu dia keluar naik wheelchair.
“Ada seorang lagi yang bermain motorsikal dari awal dan berasa tidak boleh lagi meneruskan minat itu setelah kehilangan kaki.
“Beliau ternampak interviu saya di TV dan mencari video saya di Youtube sebelum menghubungi saya.
“Saya terus pergi jumpa dia di Morib dan Alhamdulillah, sekarang dia main motosikal semula,” katanya.
Ada juga orang luar negara yang menghubungi beliau sepertimana seorang anggota wanita US Marine yang kehilangan kaki akibat terpijak periuk api di Iraq.
“Dia contact saya selepas melihat video saya di Youtube dan sekarang, bukan sahaja dia bermain motor tetapi menjadi pelari untuk Marine Corp veteran dan aktif memburu,” katanya.
Beliau berharap dapat menyampaikan mesej positif menerusi saluran Youtubenya bahawa kehidupan tidak berakhir walaupun kehilangan anggota badan atau mendapat kecacatan.
Pautan Youtube/Twitter/Instagramnya ialah onelegKH.




No comments:

Post a Comment