Monday, 18 September 2017

Mendaki puncak gunung dalam semangat bersatu...

Dalam kesyukuran menyambut Hari Malaysia, sekumpulan warga Bernama mengatur langkah mendaki gunung dengan azam untuk sampai ke puncak sebagai tanda simbolik bersatu hati mencapai kecemerlangan.
Seramai 23 orang menyertai program pendakian Gunung Rajah di Bentong itu anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) yang antara lain bertujuan memupuk semangat setiakawan dan berpasukan.
Ia juga bertujuan melihat keindahan alam ciptaan Tuhan serta belajar pengalaman di hutan.
Ketua program Asri Junin berkata ekspedisi  itu juga bermatlamat mengekalkan nilai hidup sihat dan sentiasa berada dalam keadaan cergas.
“Kami bergerak dari Wisma Bernama pada pukul 12 malam hari Jumaat dan tiba di lokasi iaitu Hutan Lipur Chamang, Bentong pada pukul 1.40 pagi hari Sabtu.
“Mula mendaki pada pukul 2.30 pagi dan tiba di base camp pada pukul 1 petang,” katanya.
Setiba di base camp yang terletak pada ketinggian 1,000 meter, mereka berehat dan mendirikan khemah.
Setelah selesai, mereka menyiapkan makanan, solat dan bermalam di base camp.
“Kami bergerak naik ke puncak Gunung Rajah pada pukul 6 pagi hari Ahad selepas solat Subuh dan tiba di puncak pada pukul 10.30 pagi,” kata Asri.
Puncak gunung itu ialah setinggi 5,528 kaki (1,685 meter).
Selepas memasak dan bergambar di puncak semasa berada selama lebih kurang satu  jam, mereka   turun pada pukul 11.30 pagi dan sampai semula di base camp pada pukul 12.30 tengah hari.
“Kami berehat, mandi, solat dan berkemas sebelum bergerak pulang pada pukul 2 petang….Tiba di tapak mula pada pukul 6.30 petang,” kata Asri.
Selepas solat Asar dan Maghrib, merekapun bergerak balik ke Wisma Bernama pada pukul 8 malam dan singgah di sebuah restoran mamak di Bentong untuk makan malam.
Mereka tiba di Wisma Bernama pada pukul 11 malam tadi dengan membawa pelbagai kenangan dan pengalaman untuk dikongsi bersama rakan dan keluarga.
Menurut Asri, keadaan cuaca adalah baik dan tidak terlalu panas semasa mereka mendaki sehingga ke puncak tetapi hujan lebat menimpa mereka semasa turun dari base camp.
“Cabaran memang banyak dan akan menjadi kenangan buat peserta program,” kata beliau.
Antaranya, pendakian yang agak jauh dan memenatkan.
Keadaan cuaca yang lembab dan berhujan masa menuruni gunung juga menjadikan semua yang dirancang agak tersasar seperti beg yang semakin berat akibat basahan hujan.
“Pada masa yang sama peserta mesti cepat sampai ke satu kawasan yang mana perlu melintasi sungai.
“Sekiranya lewat, peserta tidak boleh menyeberangi sungai kerana arus sungai yang deras dan dalam.
Beliau berkata akar-akar kayu yang bersimpang siur turut menyukarkan pendakian dan penurunan.
Peserta juga berdepan dengan batu besar yang bersudut 90 peratus untuk sampai ke puncak dan perlu menggunakan tali sepanjang 50 meter.
“Perjalanan ke puncak juga agak curam dan bergaung di bawah dan para peserta perlu berhati-hati dan saling tolong menolong antara satu sama lain,” katanya.
“Binatang berbisa seperti penyengat, ular dan pacat juga menjadi cabaran…tiga orang peserta telah digigit penyengat dan cepat menerima rawatan (first aid yang cukup dibawa).
“Beberapa peserta juga terserempak dengan ular di pertengahan jalan tetapi tiada perkara buruk tejadi…Alhamdulilah.
Asri berkata tahap kemampuan peserta juga berbeza, ada yang bertenaga dan ada juga yang agak kurang bertenaga, menjadikan pergerakan menjadi kurang sempurna.
Menurutnya, Gunung Rajah dipilih untuk pendakian itu kerana ia mempunyai pelbagai ciri seperti trek yang jauh dan mencabar.
“Hutannya mempunyai pelbagai jenis tumbuhan, ada pokok-pokok yang besar dan berusia, ada pokok renek dan ada tumbuh-tumbuhan menjalar. ada sungai dan air terjun yang cantik,” katanya.
Kedudukannya yang dekat dengan Kuala Lumpur dianggap sesuai bagi peserta-peserta baru serta menjadi pilihan AJK sebagai latihan untuk mendaki gunung-gunung lain yang lebih mencabar.



1 comment: