Daripada Muammar Eusouffi Zainol Abidin di Jeddah
Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) mahu meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dengan Bernama ke tahap yang lebih tinggi.
Ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah IINA, Issa Khaireh Robleh semasa kunjungan Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh ke Ibu Pejabat IINA di Jeddah hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Mohd Zain serta Ketua Editor Tugasan BNC Abdul Rahman Ahmad dan Jurukamera BNC Ahmad Shahuri Mat Jaan – kedua-duanya menyertai Kembara Inspirasi Haji (KIH) yang melalui pengembaraan hampir 16,000 kilometer merentasi lapan negara untuk sampai ke Tanah Suci.

Zulkefli menyambut baik tawaran IINA yang dinaungi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bekerjasama lebih rapat dengan Bernama serta percaya agensi itu boleh memainkan peranan lebih efektif dalam menyalurkan berita dalam kalangan negara Islam.

Dalam lawatan itu, delegasi Bernama diberi taklimat mengenai operasi agensi berita berkenaan oleh Issa dan Penolong Eksekutif Ketua Pengarah IINA, Akram Ameen.
Dalam taklimat berkenaan, Issa menyatakan perasaan gembira dengan kehadiran delegasi Bernama walaupun masih dalam kepenatan menunaikan ibadah haji.
Delegasi tersebut turut melawat Jabatan Pengarang IINA termasuk bahagian bahasa Perancis, Arab dan Inggeris.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment