Tuesday, 19 September 2017

Indonesia puji usaha Bernama tangani berita palsu...

Indonesia hari ini memuji usaha agensi berita, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam menangani isu-isu berita palsu yang cuba menimbulkan kekeruhan hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia.
Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Rudyantara berkata Bernama harus dipuji kerana sentiasa mengutamakan ketepatan dalam beritanya dan masih menjadi rujukan kesahihan mengenai sesuatu kejadian.
Katanya, Bernama didapati sentiasa mengutamakan ketepatan berita dari kecepatan dan ia adalah lebih baik daripada media-media sosial yang mengutamakan kecepatan tetapi bukan ketepatan.
Beliau berkata demikian kepada Bernama di Jakarta ketika ditemui selepas membuat kunjungan tidak rasmi ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di pejabat Kedutaan Besar Malaysia. 
Rudyantara berkata Bernama dan media-media arus perdana di Indonesia haruslah bekerjasama dalam usaha memerangi berita-berita palsu, yang sememangnya tidak mahu melihat hubungan harmoni antara Malaysia dan Indonesia.
"Saya mengapresiasi (menghargai) teman-teman dari Bernama, (menyalurkan berita) bagaimana kita meningkatkan hubungan antara kedua negara terutamanya bagaimana kita memerangi berita palsu.
Rudyantara berkata berita-berita palsu yang disebarkan sememangnya tidak mahu melihat harmonisasi antara Indonesia dan Malaysia.
Sehubungan itu, katanya Bernama serta rakan-rakan media di Indonesia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyalurkan maklumat yang sahih bagi menjelaskan sesuatu isu secara tepat.
"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Duta Besar Malaysia jika ada sesuatu perkara yang perlukan penjelasan dan kami menjaga harmonisasi antara kedua-dua negara," katanya.
-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment