Tuesday, 19 September 2017

Kenangan di 10 Downing Street...

Bagi jurufoto Bernama Ahmad Iskandar Kamaruzaman yang sangat meminati sejarah, pengalaman berada di 10 Downing Street di London, akan terpahat dalam ingatannya sebagai kenangan indah.
“Saya akan ingat saya pernah berada di perkarangan dan dalam 10 Downing Street sebab di situ pernah menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri Great Britain yang sangat terkenal seperti Winston Churchill dan Iron Lady, Margaret Thatcher,” katanya.
Iskandar, yang menganggap jurufoto sebagai perakam sejarah, telah ditugaskan untuk pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Britain Theresa May di kediaman dan pejabat rasmi Perdana Menteri itu pada Khamis lepas.
“Saya sangat-sangat meminati sejarah dan assignment itu peluang saya untuk melihat ikonik 10 Downing Street serta tempat-tempat bersejarah lain di sana,” kata Iskandar yang tidak melepaskan peluang merakam foto peribadi di luar bangunan itu.
Beliau yang mengiringi Pengarang Meja Berita Khairdzir Md Yunus untuk tugasan tersebut berkata beliau terkejut apabila diberitahu supaya bersiap untuk tugasan penting itu.
“Sangat singkat waktu tu sebab saya dapat tahu 11 haribulan malam dan esoknya 12 haribulan malam kena fly ke London.
“Nak uruskan macam-macam hal sebelum ke London dalam waktu singkat memang sangat mencabar.
“Saya macam terkejut sebab saya rasa belum sampai kelayakan untuk saya pergi assignment di tempat macam tu.
“Perasaan gementar tu sampai terbawa-bawa di depan 10 Downing Street sebab saya risau tak dapat deliver apa yang KL hendakkan…risau tak sampai S.O.P tugas yang saya galas.
“Tapi bila dah selesai semua, saya rasa sangat-sangat lega bila semuanya berjalan dengan baik walaupun gementar sikit pada mulanya sebab pertama kali sampai 10 Downing Street,” katanya.
Menurutnya, rasa gementar itu kerana tidak tahu cara kerja media di sana dan kawalan keselamatannya yang ketat.
“Lagipun cuma saya seorang je yang dapat masuk…Press lain termasuk jurufoto agensi UK pun tak boleh masuk.
“Saya diiringi jurufoto rasmi 10 Downing Street,” katanya.
Telefon bimbitnya juga tidak dibenarkan dibawa semasa mengambil gambar dalam tempat itu yang menjadi kediaman pemimpin Britain sejak 300 tahun.
Iskandar, yang mendapat perhatian ramai di media sosial baru-baru ini apabila aksi lariannya yang ‘lebih laju’ daripada atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan selepas acara 100 meter lelaki akhir pada temasya Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil, juga telah menggunakan keupayaan lariannya untuk tugasan di London.
Ketika melakukan tugasan semasa Sukan SEA itu,  Iskandar menyatakan semasa berlari beliau tidak tidak boleh memikirkan barang jatuh atau sebagainya kerana yang penting ialah tidak boleh terlepas momen kejayaan tersebut.
“Benda yang sama juga saya fikir (semasa di London) cuma saya kena fikir saya tak boleh miss gambar PM dan saya memang kena berlari masa assignment itu.
“Sebabnya saya perlu ambil gambar di dalam dan di luar, cuma saya yang boleh masuk dan saya kena berlari ke dalam sebelum PM masuk bilik rasmi PM UK,” kata Iskandar, 31, yang  menggalas kamera dan peralatannya yang berat.
Setelah berada di luar negara selama enam hari untuk tugasan itu, Iskandar dan Khairdzir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira 3 petang dua hari lepas.
“Saya sempat juga pergi Tower Bridge, London Bridge, St Paul Cathedral, Parliament House, St James Park, Buckingham Palace, Tower of London,” kata Iskandar yang menyertai Bernama pada umur 24 tahun sebagai pelajar praktikal.
Beliau kemudian terus menjadi stringer pada tahun berikutnya dan menjadi petugas Bernama secara rasmi pada tahun 2012.
Sejak menyertai Bernama, Iskandar telah membuat tugasan di kebanyakan negara ASEAN kecuali Myanmar dan Brunei serta China, Brazil, Arab Saudi sebelum United Kingdom.

No comments:

Post a Comment