Friday, 22 September 2017

Azam tahun baharu…


Dalam menyambut ‘Maal Hijrah’ hari ini, ramai yang membuat azam untuk meningkatkan kemampuan diri agar berjaya di dunia dan akhirat.
Abdul Rahman
Ini bersesuaian dengan tarikh Maal Hijrah atau Awal Muharram yang menjadi detik permulaan perkiraan tahun Islam Hijrah sepertimana disebut dalam lagu “Maal Hijrah” yang berkumandang setiap kali sambutan ini.
Ia merupakan hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Antara lirik lagu itu:

"Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan”

Norsalehen
Bagi jurukamera Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Othman, sambutan Maal Hijrah menandakan tahun baharu Islam untuk menyatakan azam yang hendak dicapai.
“Azam saya insyaAllah nak berbakti kepada kedua-dua mak dan ayah, keluarga, anak-anak dan agama Islam...Amin.," kata Abdul Rahman, 52.
“Dari segi kerjaya, harapan saya agar BNC dan Bernama disukai  orangramai,” katanya yang telah berkhidmat hampir 24 tahun dengan Bernama.
Bagi webmaster, Norsalehen Ahmad Kharani yang telah empat tahun berkhidmat dengan Bernama, kedatangan Maal Hijrah memberi kesempatan untuk memperbaharui azam.
“Azam tahun baru saya untuk menjadi insan yang lebih baik di dunia dan akhirat di samping berbakti kepada ibu bapa dan mengubah kekurangan diri.
Muhammad Naqib
“Saya juga berazam untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang ICT dan mempelajari benda baru mengenai ICT yang kita sedia maklum terlalu cepat berkembang,” kata Norsalehen, 29, dari Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).
Setiausaha pejabat Muhammad Naqib Roslan, 23, juga berazam meningkatkan keupayaan diri.
“Sempena Maal Hijrah yang mulia ni, saya ingin menjadi insan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ni supaya kehidupan saya diredhai oleh Allah SWT, In Sha Allah,” kata Naqib yang baharu sembilan bulan menjadi petugas Bernama.
Beliau telah menjalani latihan amali selama tiga bulan di Bernama pada tahun 2015.




No comments:

Post a Comment