Sunday, 24 September 2017

Menggapai impian...

Berbekal keazaman untuk bekerja dengan Bernama, Hasnah Jusid membulatkan tekad menaiki kapalterbang dari Sabah semata-mata bagi menghadiri temuduga sebagai wartawan di Wisma Bernama.
“Ketika itu ada yang beranggapan pemergian saya ke Kuala Lumpur untuk mengambil ujian dan temuduga adalah sia-sia dan berisiko kerana kos yang tinggi.
“Tapi kerana memang saya bercita-cita untuk bekerja di bawah Bernama sejak melanjutkan pelajaran di UMS (Universiti Malaysia Sabah), saya teruskan hasrat dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan yang memberikan sokongan kewangan…syukur Alhamdulillah pengorbanan saya terbalas,” katanya yang menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada 3 Mac 2014.
Berasal dari Kampung Sumbilingon, Kota Marudu, Hasnah menghadiri temuduga itu selang beberapa hari selepas konvokesyen UMS dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan dan Penyiaran).
Keinginannya untuk menyertai Bernama didorong oleh seorang pensyarah UMS Dr Haryati Karim, antara tenaga pengajar yang paling diminatinya dan merupakan bekas wartawan Bernama.
“Beliau banyak bercerita kisah ketika menjadi pemberita di Bernama…kisah-kisahnya banyak membangkitkan semangat saya untuk turut mencapai kejayaan sepertinya,” kata Hasnah yang kini bertugas di Biro Bernama Kedah sejak dua tahun lepas.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti pun, minat beliau untuk menjadi wartawan telah lahir sejak kecil.
“Sejak saya berumur 6 tahun, ayah saya seorang yang sangat suka mengikuti perkembangan semasa…setiap hari dia akan membeli surat khabar tempatan Sabah seperti Daily Express dan New Sabah Times.
“Dia akan meminta saya membacakan setiap berita yang ada pada akhbar tersebut untuk didengarnya.
“Daripada pembacaan saya, memang saya melihat kebanyakan berita yang terdapat dalam akhbar-akhbar ini, kita akan dapat lihat satu kredit pada penghujung beritanya iaitu Bernama..
“Semakin umur meningkat, saya mula faham peranan Bernama dan itulah sebabnya saya memasang cita-cita untuk menyertai Bernama,” kata Hasnah, 27.
Kini setelah menyertai Bernama, Hasnah dapat merasai keseronokannya  menjadi wartawan Bernama.
“Apa yang paling seronok kerja dengan Bernama sebab ia agensi berita yang disegani dan menjadi sumber rujukan kepada organisasi media lain…ditambah dengan bos-bos yang supportive.
“Setiap kali kita menghasilkan berita, rasa seronok bila berita tu diguna oleh agensi berita lain.
“Kalau pergi mana-manapun Bernama memang dikenali sebagai agensi berita utama untuk mendapatkan berita cepat, pantas dan sahih.
“Pada tahun pertama saya di Bernama iaitu ketika menjadi pemberita kadet.. saya pernah meminta pakcik teksi untuk hantar ke bangunan Wisma Bernama disebabkan waktu itu saya tak mempunyai kereta lagi.
“Setelah sampai di hadapan pintu utama bangunan Bernama, pakcik itu bertanya saya adakah saya bekerja di situ…saya kata ya..
“Jawapan pakcik itu saya masih ingat sampai sekarang, dia kata: "Kamu beruntung kerja dengan Bernama sebab Bernama ni sudah lama wujud dan memang dikenali sejak dulu lagi,” katanya.
Hasnah, yang telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerja, baru-baru ini menerima ‘insentif petugas cemerlang Biro Kedah’ yang diperkenalkan oleh Ketua Biro Zabidi Ishar sebagai dorongan kepada para petugas biro tersebut.
Sebagai anak Sabah, Hasnah telah lama dapat melihat peranan penting Bernama dalam menggalakkan integrasi nasional.
Local newspapers di Sabah memang cukup banyak menggunakan berita-berita Bernama...local newspapers ini pengaruhnya agak kuat di kalangan  rakyat Sabah terutamanya yang tinggal di pedalaman.
“Rakyat Sabah yang terdiri daripada lebih 36 suku kaum memang cukup terkenal sebagai salah satu contoh terbaik perpaduan kaum dan semangat 1Malaysia di negara ini.
“Ditambah pula dengan berita Bernama yang cukup banyak dipakai oleh akhbar-akhbar tempatan Sabah, tidak hanya berita berkaitan Sabah malah juga berita-berita yang berlaku di Semenanjung sekali gus dapat pupuk semangat kenegaraan.
“Rakyat di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak merasa lebih dekat dengan rakyat Semenanjung walaupun dipisahkan Laut China Selatan.
“Sama juga rakyat Semenanjung pun boleh tahu perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak dengan adanya biro Bernama di negeri-negeri itu.
“Tanpa Bernama mana mungkin rakyat  di Sabah dan Sarawak tahu segala intipati maklumat, kejayaan pembangunan, amanat PM dan lain-lain lagi yang berlaku di Semenanjung,” kata anak kelapan daripada 12 adik beradik itu.

No comments:

Post a Comment