Sunday, 17 September 2017

Antara sedih dan gembira...

Seperti kebanyakan jemaah Haji yang baharu pulang dari Tanah Suci, perasaan Pegawai Berita Meja Bahasa Arab, Muammar Eusoffi Zainol Abidin bercampur antara sedih dan gembira.
“..rasa sedih nak tinggalkan tanah haram dan gembira sampai ke tanah air.
“Perasaan sedih tinggalkan tempat yang mendekatkan kita dengan Tuhan dan tempat penuh bersejarah nabi kita,” katanya yang berada selama tiga minggu di Arab Saudi bagi mengerjakan Haji.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pukul 9.30 malam tadi bersama-sama Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh yang diiringi isterinya Datin Ruhiza Hashim, Pengarah Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan mantan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Hajah Salbiah Said, yang kini bertugas dengan Unit Portal.
“Alhamdulillah semua okay tapi ada la sakit sikit-sikit..batuk ni tak hilang lagi,” kata Muammar.
Menurutnya, beliau akan merindui suasana beribadat di sana.
“Kat sana semua datang dengan tujuan yang sama iaitu ibadah, kira jauh dari fikiran duniawi…
“Dengan suasana macam tu, kita turut fokus dengan tujuan yang sama.
Beliau juga akan mengingati ketenangan di Madinah setelah berada selama empat hari di kota bersejarah itu.
“…selepas ujian dan cabaran di Mekah, kami datang ke Kota Madinah yang sangat tenang.
“Ketenangan itu menambahkan lagi perasaan gembira…rasa seronok sangat kat Madinah
“Di Madinah ulang-alik masjid dan pergi tempat bersejarah seperti Bukit Uhud, Masjid Quba, pasar kurma dan lain-lain.
“Madinah kota bersejarah, terdapat Masjid Nabawi yang memberi ganjaran pahala 1,000 kali ganda berbanding solat di masjid lain di dunia kecuali Masjid al-Haram,
Muammar (berbaju biru) bersama Hakimi (kanan)
“Bumi Madinah juga mempunyai keistimewaan lain kerana terdapat maqam kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Hakimi pula akan turut merasa rindu terhadap Tanah Suci "kerana kita tidak tahu bila dan jika kita akan kembali lagi".
"Semasa tawaf wida sebelum meninggalkan Mekah saya menangis dan berasa amat sedih untuk meninggalkannya.
"Rindu perasaan dekat dengan Allah SWT...di sana apa saja kita lakukan adalah berkait dengan-Nya.
Pengalaman mengerjakan Haji memberi iktibar kepada Hakimi dari segi keinsafan diri, kesabaran dan toleransi.
"Sebab di sana, kita bertemu pelbagai bangsa dan ragam...dari semua negara," katanya. 

No comments:

Post a Comment