Thursday, 28 September 2017

Sukan jadi inspirasi...

Tidak susah untuk mengagak bahawa Ketua Meja Sukan Bernama, Farhanah Azmi akan membaca akhbar bermula dari muka surat belakang setiap hari.
“Tentulah berita sukan dahulu...tengok berita-berita yang boleh buat follow up, kemudian muka depan...hehe,” katanya yang biasanya membaca semua akhbar utama tempatan.
Sekian lama melaporkan mengenai sukan, banyak pengalaman dan pengetahuan diperolehi Farhanah yang akan mencecah angka 50 pada 1 Okt ini.
Liputan sukan telah membawa anak Bukit Mertajam ini ke merata tempat di dunia, membina persahabatan dengan para atlet di samping membentuk keperibadiannya.
“Banyak cerita inspirasi yang saya belajar dari ahli sukan. Macam (Datuk Lee) Chong Wei, walaupun tidak pernah menang pingat emas Olimpik atau gelaran juara dunia, dia tetap memberikan komitmen terhadap latihan.
“Masa dia kena gantung lapan bulan sebab kes penggunaan bahan terlarang, dia tetap menjalani latihan ringan untuk mengekalkan stamina.
“Dia terpaksa bermula dari bawah semula untuk mendapat semula kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia.
“Begitu juga (Datuk) Nicol David, aspek disiplin dalam latihan membolehkan dia bertahan sebagai nombor satu dunia untuk tempoh lebih 100 bulan.
“Walaupun sekarang agak sukar untuk dia dapat kembali kedudukan itu dengan kebangkitan pemain-pemain muda Mesir tapi masih gigih berusaha untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia,” katanya.
“Kalau cerita pasal inspirasi, saya paling terkesan dengan atlet-atlet paralimpik….mereka ni sangat istimewa, hanya Tuhan sahaja tahu jerih perih mereka untuk berjaya.
Farhanah dengan Sharifah Raudzah
“Bermula dengan tidak langsung mendapat perhatian media, kini mereka jadi buruan pihak media. Saya kenal mereka sejak awal pembabitan mereka. Dulu mereka amat sukar didekati kerana malu dan merasa rendah diri,” katanya.
Antaranya ialah atlet powerlifting Sharifah Raudzah Syed Akil yang Farhanah kenali sejak di Sukan Para Asean Korat pada 2008.
“Dia pembaca ikrar atlet masa pembukaan rasmi Sukan Para Asean Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya mengenai pemenang pingat gangsa untuk acara lebih 86kg wanita itu.
Farhanah menyertai Bernama pada Julai 2000 dan ditempatkan di Meja Sukan pada 2003.
“Kalau ikutkan, saya dah dalam bidang kewartawanan sejak 1994 sebaik graduate dari USM (Universiti Sains Malaysia),” katanya.
Beliau memulakan kerjaya dengan akhbar Harian Watan pada tahun 1994 sebelum menyertai Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dari 1997 hingga tahun 2000.
Sebagai ketua meja sukan, Farhanah berkata antara tanggungjawabnya ialah “menjaga kreadibiliti Bernama serta memantau anak buah saya di lapangan”.
“Jaga hubungan baik dengan client dan sumber berita
“Bukan senang nak memuaskan hati semua pihak tapi yang penting saya tahu saya dan team saya sudah melakukan yang terbaik
“Saya akan sentiasa beri teguran kepada rakan sekerja jika saya dapat tahu apa yang mereka lakukan itu tidak betul,” katanya.
Farhanah berkata banyak memori berkaitan kerja yang menjadi ingatan baginya.
“Antaranya pengalaman membuat liputan Sukan Paralimpik di Beijing 2008 dan London 2012.
“Selain itu dapat peluang interview secara eksklusif pelumba F1 Michael Schumacher, Lewis Hamilton dan jaguh Motor GP Valentino Rossi,” katanya.
Farhanah berkata beliau akan bertugas di Litar Sepang pada hari lahirnya Ahad ini untuk membuat liputan Perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia yang terakhir.
“Tugasan diutamakan…tahun lepas pun buat liputan sama tapi kali ni lain sikit sebab saya baru kehilangan adik saya,” kata Farhanah yang telah tujuh kali melaporkan mengenai perlumbaan F1 sejak 2006.
F1 Grand Prix Malaysia akan menutup tirainya tahun ini setelah 19 tahun beroperasi dan akan digantikan dengan Motor GP mulai tahun hadapan.
Farhanah, yang kerap ke luar negara untuk membuat liputan sukan, berkata rakan-rakan yang pergi bersama akan tahu bahawa beliau suka memasak di bilik hotel.
“Masak simple jer, nasi, ikan sardin dan beberapa jenis masakan segera seperti pes kari Brahim...hehe bukan nak jimat, tapi sebab sukar nak cari makanan halal.
“Kadang-kadang bawa siap-siap sambal tumis ikan bilis kering...itu sesuatu yang mesti...hehehe.
“Maggi saya bawa juga tapi jarang makan, kalau rakan-rakan nak saya bagi jer.
“Itu jadi habuan bila terlampau letih sangat balik assignment awal pagi, Maggi lah jadi pengalas perut,” katanya.
Farhanah mengakui bekalan bahan-bahan itu yang dibawanya menambah berat beg.
“Haah...tapi beg saya selalu tak lebih 30kg...hehe sebab separuh beg penuh dengan makanan…baju saya bawa sedikit sahaja sebab baju boleh dibeli.
“Bila nak balik, makanan lebih yang tak dimasak tu saya tinggalkan saja di hotel atau bagi dekat orang yang saya kenal seperti pemandu teksi atau cleaner kat hotel tu,” katanya.
Dalam mencapai usia ke-50, Farhanah berkata beliau merasakan “tidak cukup lagi ilmu di dada terutama ilmu agama”.
“Saya rasa masa terlampau cepat berlalu..saya nak cari masa untuk ke kelas agama, insyaAllah,” katanya.

No comments:

Post a Comment