Sunday, 3 September 2017

Selamat ulangtahun ke-10 Bernama Radio...

Pada hari ini dalam tahun 2007, Bernama Radio (dahulu Bernama Radio24) mula bersiaran sebagai radio berita 24 jam. Tarikh ini dipilih sesuai dengan frekuensi 93.9FM untuk 3 haribulan 9 atau 3 September.
Selamat menyambut ulangtahun ke-10 Bernama Radio.
Seorang petugas perintis Bernama Radio, Essan Yahya berkongsi pengalaman berikut:
"Tahun 2007 aku memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan di sebuah stesen Radio yang masih belum punya nama, Studio masih belum siap, Frekuensi masih belum ke udara dan program masih dalam perancangan.
Melangkah masuk (1 Julai 2007) dengan 18 orang kakitangan baharu, pelbagai latar belakang yang rata-ratanya bukan dari bidang penyiaran. Aku memilih untuk menjadi petugas awal dengan menolak tawaran dari sebuah stesen TV dan Akhbar ketika itu yang gajinya jauh berbeza dari aku terima ketika itu (RM1300 Basic).
Walaupun bukan kerjaya pilihan sebagai Wartawan Radio, aku berusaha untuk ikhlaskan hati menerima rezeki tuhan dan yakin dengan kejujuran. Selama 3 bulan 'team' ini bekerja, memilih nama radio, mengatur program, konsep dan sebagainya, 3 SEPTEMBER 2007, 'RADIO24' memulakan siaran dengan satu jajahan frekuensi di Lembah Klang 93.9FM.
Konsep? Radio Berita sepenuhnya dan menjadi satu-satunya Radio Berita di Malaysia. Saluran Radio Berita Pertama Negara!
Tapi sebelum itu, Aku wartawan pertama dihantar keluar untuk tugasan (LID Langkawi) walaupun masih belum memulakan siaran, tugasan untuk melaksanakan liputan simulasi radio. (Akan dikenang sampai bila-bila)
Selepas memulakan siaran, Radio24 melalui beberapa fasa yang jauh berbeza. Sehinggalah Ketua Pegawai Operasinya yang turut bertukar dengan pengurusan yang berbeza tetapi membawa hala tuju yang sama. Bermula daripada Datuk Syed Jamil, kepada Tuan Sheikh Raffie dan En Azlan Idris sekarang.
Perjalanan kerjaya aku turut melalui perubahan yang sangat ketara. Sifu/Cikgu Pak Openg Onn Net banyak mengajar aku menjadi seorang wartawan dalam penulisan dan penyampaian sebagai penyiar Radio termasuk ilmu yang dicurahkan En Letfee Ahmad dan tidak dilupakan Kak Sab!!
Begitu laluannya sebagai sebuah stesen radio, stesen ini turut bertukar nama demi penjenamaan. Secara ringkas :-
Radio24 -> Bernama Radio24 -> Bernama Radio (Sekarang)
Begitu juga dalam kerjaya aku di Bernama Radio, bermula sebagai Wartawan, bertukar kepada Penolong Penerbit, diberi tanggungjawab khusus sebagai Penerbit Berita.
Daripada seorang Penerbit Berita, aku ditukarkan menjadi Penerbit Rancangan dan mengendalikan Program Dalam Radar. Selang beberapa tahun, Aku diberi tugasan untuk mengendalikan Unit Rancangan sebagai Penerbit Kanan Rancangan.
Walaupun mula selesa dengan tanggungjawab berkenaan, aku akur dengan pertukaran seterusnya kepada jawatan sebagai Wartawan Penyiaran Kanan. Masa ini cukup singkat, selepas beberapa bulan, aku dipinjamkan pula selama setahun sebagai Penerbit Kanan Bernama News Channel BNC (ketika ini untuk Program Utama BNC iaitu Ruang Bicara)
Hari ini genap 10 tahun siaran Bernama Radio. Bermula dengan frekuensi 93.9FM di Lembah Klang, jelajah frekuensi diteruskan di Johor 107.5FM, Kota Kinabalu 107.9FM dan Kuching 100.9FM.
Hubungan kerjaya aku dengan Bernama Radio sangat akrab, hubungan jiwa dan rasa, hubungan tenaga dan usaha, juga hubungan ikhlas dan agama.
Benar. Bernama Radio membuka jalan dan peluang serta menambah ruang untuk aku lebih mengembara ke luar negara, memahami apa yang kabur sebelum ini dan menjadi laluan untuk aku mengetahui sesuatu perkara.
Syukur walau aku tidak popular, syukur walau petugas biasa, Syukur apa yang ada dan syukur aku bersamanya.
Di sini jalinan keluarga tercipta, di sini jalinan ukhwah bermesra, di sini jalinan sahabat di jaga dan di sini juga lah perpisahan itu nyata!
SELAMAT ULANGTAHUN KE 10 DAN TERIMA KASIH BERNAMA RADIO.
10 Tahun aku bersamanya
10 Tahun aku mencipta suka dan duka
10 Tahun aku merakam bahagia
10 Tahun ke udara
10 Tahun aku yang punya banyak Cerita

-EY2017-"

No comments:

Post a Comment