Friday, 29 September 2017

Benita kumpul lebih 300 pakaian untuk tujuan amal...

Lebih 300 pasang pakaian yang masih elok dan cantik, berjaya dikumpul oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) untuk diserahkan kepada Yayasan Prihatin Insan (YPI)  bagi tujuan mengutip dana melalui kempen 'Baju Cantik Untuk Dana'.
Pakaian yang disumbang anggota Benita, kakitangan Bernama dan anggota Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (PCKKMM) itu akan dijual pada program jualan YPI dan hasilnya akan diagihkan pula kepada asnaf terpilih.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata kempen yang dijalankan selama sebulan itu merupakan kesinambungan program kebajikan yang dianjurkan persatuan berkenaan seperti projek 'Sepatu Raya' dan beberapa program kebajikan yang diadakan setiap tahun.
"Ini merupakan kali pertama kerjasama Benita dengan Yayasan Prihatin Insan dan kami berharap usaha ini dapat membantu yayasan dalam meringankan beban golongan yang memerlukan," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan 'Baju Cantik Untuk Dana' di Wisma Bernama hari ini.
Sumbangan pakaian itu diserahkan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh kepada Pengerusi YPI Ismail Ishak. 
Rohana berkata Benita juga akan meneruskan inisiatif sebagai perantara kepada badan-badan kebajikan serta mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak bagi melaksanakan program amal yang diusahakan.
Sementara itu, Ismail mengucapkan perhargaan kepada Benita atas sumbangan berkenaan dan berkata pakaian yang dikumpul itu akan dijual melalui program-program yang telah disusun YPI.
Antaranya jualan but kereta, kempen dan Karnival Prihatin Insan yang akan jalankan pada November.
Beliau berkata YPI juga mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat dan individu lain untuk bekerjasama dalam program kebajikan yayasan itu bagi membantu golongan asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.
"Asnaf ini bukan hanya kita bantu, malah kita didik mereka bagaimana pendekatan dan cara untuk keluar daripada garis kemiskinan melalui program yang kita jalankan," katanya.
Pada majlis berkenaan turut diadakan pertandingan Permainan Tradisional Benita 2017.
Seramai 30 peserta terdiri daripada anggota Benita mengambil bahagian dalam permainan seperti congkak, dam haji dan batu seremban.
Pemenang akan mewakili Bernama ke pertandingan peringkat kementerian anjuran Puspanita KKMM.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment