Wednesday, 13 September 2017

Bertugas dini hari...


Foto Shamsudin Puteh
Ketika kebanyakan orang diulit mimpi, sebilangan kecil petugas Jabatan Pengarang masih bekerja walaupun waktu hampir pukul 4 pagi.
Mereka bertugas untuk menyediakan berita berhubung kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington atas undangan Presiden Donald Trump.
Selain penyunting Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, turut berada di pejabat ialah petugas Unit Foto yang bertanggungjawab menyalurkan foto-foto pertemuan dua pemimpin itu serta yang berkaitan.
Begitu juga petugas Meja berita, Meja Multimedia dan Bernama.com.
Perbezaan waktu antara Malaysia dan Washington -- siang di sana, malam di sini, memerlukan  Bernama melanjutkan waktu operasi bagi mengeluarkan berita berkenaan sebaik sahaja ia diterima.
Foto Bernama
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan jurufotografi Zulfadhli Zulkarnain berada di Washington untuk melaporkan mengenai pertemuan di Rumah Putih itu.
Datuk Seri Najib tiba di Rumah Putih pada pukul 11.45 pagi dan disambut Presiden Trump di pintu masuk West Wing.
Mereka mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri-menteri dan pegawai kanan masing-masing sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval.
Kunjungan Datuk Seri Najib ke Rumah Putih atas jemputan Presiden Trump, berlangsung lebih sejam.
Pegawai yang berada di Rumah Putih berkata Trump mengiringi Datuk Seri Najib hingga ke pintu untuk mengucapkan selamat jalan, di luar kelaziman beliau yang hanya menghantar pemimpin berkunjung ke pejabat beliau, setakat di lantai utama .
Foto Bernama
Bagi para petugas di ibu pejabat, berita pertama mengenai pertemuan itu dikeluarkan pada 11.48 malam dalam bentuk 'flash', sejurus selepas Datuk Seri Najib tiba di Rumah Putih.
“Tugas kumpulan kami, termasuk Nurul Afida dan Rubiah, bermula pada pukul 10 malam dan dijadual berakhir pada pukul 6 pagi,” kata penyunting Meja Bahasa Malaysia, Encik Shamsudin Puteh.
“Bagi saya, kopi dan biskut menjadi peneman untuk berjaga. Keadaan begini jugalah yang dihadapi semasa berlakunya tragedi Penerbangan MH370 dan MH17 dulu, selain Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Semoga Allah permudahkan urusan kami,” kata Encik Shamsudin yang menganggapnya sebagai tugasan terakhir beliau sebelum tamat kontrak, berkemungkinan esok.


No comments:

Post a Comment