Saturday, 23 September 2017

Tiada lagi derai tawanya...

Membayangkan hari-hari mendatang tanpa ‘bos’ mereka yang akan bersara sudah cukup membuatkan para petugas Pusat Kecemerlangan Bernama berasa sedih.
“Beliau ibarat ayah kami…beliau ada, kami bahagia…beliau tiada, terasa kosongnya...,” kata Penolong Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama Ridzuan Mohd Ghazali.
Pengurus Kanan Pusat Kemerlangan Bernama Ahmat Wahab, 67, akan meninggalkan Bernama apabila kontraknya tamat pada 27 September ini.
Ridzuan akan merindui gelak ketawa dan gurau senda “Che Mat” yang kini bercuti menjelang persaraannya.
“Dalam keadaan tertekan macam mana sekalipun, bila dia masuk saja ke pejabat, kami akan rasa bahagia.
Beliau memang tiada galang gantinya,” katanya.
Walaupun ada yang menyatakan wajah Che Mat nampak garang, namun tidak bagi Ridzuan.
“Wajah En Mat comel.. senyuman dia membahagiakan. Bila dia ketawa, kami akan terhibur,” katanya.
Bagi Ridzuan terlalu banyak detik bersama Che Mat yang akan dikenang.
“Kenangan dia di pejabat pun sudah menjadi sesuatu yang terlalu bahagia untuk dikenang.
“Selain di pejabat, saat dia hadir ke majlis perkahwinan saya, juga saat beliau begitu teruja untuk turun bersama-sama ke majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang saya terima tahun lalu.
“Detik manis semasa program team building, apatah lagi selepas habis program, beliau kerap bawa saya dan Adam pergi makan lewat malam...,” katanya merujuk kepada pereka grafik Adam Faizq Linoby yang bertugas di unit latihan itu.
Ridzuan berkata sebagai tanda kasih sayang mereka, para petugas Pusat Kecemerlangan telah membuat video semasa sambutan ulang tahun Che Mat yang telah lama berkhidmat dengan Bernama.
Che Mat pernah menjadi pengarang berita pada awal 1980-an dan anak-anak buahnya termasuk editor-editor kanan yang telah dan sedang berkhidmat dengan Bernama.
Beliau berkhidmat seketika dengan TV3 sebelum kembali ke Bernama untuk membantu memantapkan operasi Bernama TV, yang berkembang menjadi Bernama News Channel (BNC).  
Pada Ogos 2014, mantan Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong telah menempatkan Che Mat, yang sebelum itu merupakan Pengarah Operasi Perkhidmatan Audio-Visual, di Pusat Kecemerlangan Bernama sebagai Pengurus Kanan Latihan  untuk melaksanakan tanggungjawab baharu melatih tenaga muda wartawan sehingga peringkat pengarang berita. 
Langkah itu bertujuan mengembalikan zaman kegemilangan Bernama.
“Apabila kita kata glory days of Bernama, saudara Ahmat Wahab adalah salah seorang daripada angkatan itu,” kata Datuk Yong.
“Perpindahan saudara Ahmat dari Bernama TV ke Pusat Kecemerlangan untuk mengendalikan latihan adalah berdasarkan keperluan yang amat sangat.
“Saudara Ahmat  sangat berpengalaman dan sering mengendalikan kursus team-building tetapi keupayaannya lebih daripada team-building,”  kata Datuk Yong. 
Seperti juga Ridzuan, Safiah Nawawi sangat sedih dengan persaraan Che Mat.
“En. Mat bos yang sangat sporting, yang sentiasa happy.
“Dia bukan sahaja seorang bos tapi lebih kepada seorang bapa yang sentiasa bagi panduan dan nasihat  kepada anak-anak jika ada masalah...tak kira masalah kerja atau peribadi,” katanya.
Antara detik dengan Che Mat yang akan beliau ingati ialah semasa mengikuti program team building yang dikendalikan oleh Che Mat.
“Kata-kata semangat ditanamkan oleh Cik Mat agar terus bekerja dengan semangat satu pasukan serta menonjolkan mutu kerja yang cemerlang untuk organisasi, walaupun jika ada beberapa perkara negatif atau halangan yang berlaku,” katanya.
Waktu itu, Safiah belum berada di unit latihan dan apabila dipindahkan untuk bertugas di bawah Che Mat, beliau begitu gembira.
“Ya Allah,  tak tau nak cakap apa, syukur sesangat....happy...lepas tu pulak, Cik Mat ni seorang yang caring, dia akan pastikan anak buah dia dah balik, baru dia balik,
“Dia akan meronda setiap kawasan untuk pastikan semua dah berkunci...faham-faham je la kekadang kami semua ni pelupa,” katanya serta bertanya siapalah agaknya yang akan menggantikan Che Mat.
Eksekutif Latihan Maslina Mahadi berkata mereka terlalu rindu kepada Che Mat yang mereka anggap sebagai ayah.
“Kami paksa dia datang ofis next week…InshaAllah 27 haribulan dia datang Bernama,” katanya yang bersama-sama rakan-rakan unit latihan berkesempatan makan tengah hari dengan Che Mat di sebuah pusat membeli-belah pada hari Khamis.
Maslina berkata beliau sedih dengan ketiadaan Che Mat yang sentiasa memberikan nasihat kepada mereka.
“Terasa macam mana sedihnya masa En Roger (Abdul Rahman Yeop Norodin) sakit dan terpaksa berhenti dari NNN (NAM News Network) dulu.
“Macam berulang kembali kesedihan tu,” kata Maslina yang pernah bertugas di NNN ketika ‘Roger’ menjadi pengarah pertamanya.
“Kami dah anggap Che Mat macam ayahanda sendiri…selalu bagi nasihat bila kami buntu nak cari jalan penyelesaian.
“Walaupun dia bos, tapi time dia bagi nasihat tu memang macam bapak-bapak punya style…Memang kami respek habis kat Che Mat,” katanya.
“Kami kat sini memang tak segan minta nasihat dia bukan saja untuk tanya hal-hal ofis malah hal keluarga pun kami selalu minta pendapat dia…contohnya pasal pendidikan anak-anak, mostly pasal parenting guide,” katanya.

No comments:

Post a Comment