Sunday, 1 October 2017

Mengambil iktibar bola kehidupan…

Membawa bersamanya pengalaman yang luas, jurufoto Haji Zainol Bidin menamatkan perkhidmatan selama 35 tahun dengan Bernama semalam sebagaimana perwatakannya – tenang!
Sentiasa bersongkok dan tersenyum, anak jati Kampung Tok Kayaman  di Chuping, Perlis itu seorang yang tidak banyak bercakap.
“Biasa saja,” katanya apabila ditanya menerusi WhatsApp mengenai perasaannya bersara mulai hari ini pada usia 58 tahun.
“Mestilah rindu kepada kerja,” kata Zainol yang merupakan antara 300 kakitangan yang diraikan pada majlis “Jasamu Dikenang 2017” anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada Selasa lepas.
Menjawab soalan mengenai rancangannya selepas ini, beliau ringkas menyatakan: “Tak tahu lagi”.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan untuk balik menetap di Perlis setelah sekian lama merantau kerana bekerja.
Zainol mengikuti kursus senifoto selama setahun di Pusat Latihan Belia Pertak di Kuala Kubu Baharu pada 1979 dan menyertai akhbar Utusan di Pulau Pinang pada tahun 1981.
Sewaktu di Pertak lagi beliau sudah bersongkok dan ada sebabnya.
“Kepala saya tidak boleh sejuk…kalau buka (songkok), saya demam esoknya...bukan tunjuk alim,” katanya.
“Saya naik kereta tak buka air-cond,” jelasnya yang tetap menutup kepala ketika bertugas di luar negara.
“Di USA, saya pakai topi dan di Tokyo, saya pakai songkok, mereka kata saya dari RTB Brunei,” kata Zainol yang menyertai  Bernama pada 1982.
Beliau pernah bertugas di biro Terengganu selama lima tahun dari 1984 hingga 1989, di Kelantan lima tahun dan Kedah selama empat tahun dari 2008 hingga 2012.
Kerjaya sebagai jurufoto Bernama juga telah membawa beliau ke merata negara di dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Arab Saudi.
Beliau juga dianugerahi Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Terengganu pada 1998 dan Pingat Jasa Baik (PJB) daripada Raja Perlis pada 2010.
Tidak ramai mengetahui bahawa Zainol semasa muda meminati seni dan pernah menjadi pelakon tambahan ‘Panggung RTM’ bersama Allahyarham Mahmud June, Norizan dan S.Sahlan yang membuat penggambaran di beberapa lokasi di Perlis.
“Saya pernah ambil cuti satu bulan tanpa gaji untuk berlakon,” katanya yang tidak lagi meminati senilakon.
Walaupun menghadapi pelbagai ujian dalam kehidupan, Zainol tabah mengharunginya dengan menjadikan rutin membaca surah Yasin setiap hari sejak 30 tahun lalu.
“Setiap orang tidak sama ujiannya...ada  orang kaya berjuta tapi anak seorang pun tak ada...
“Macam saya, ada 9 anak..cucu 6...menantu 3...cuma ada XX ringgit dalam bank...inilah kehidupan walaupun anda jumpa saya sentiasa tersenyum,” katanya.
“Datuk Seri (Azman Ujang, Pengerusi Bernama) banyak tolong saya.. hanya Allah membalasnya,” kata Zainol.
Nasihatnya kepada kawan-kawan ialah: “Berjimat sebelum habis...”
Menerusi bicara WhatsApp itu Zainol turut berkongsi video satu ceramah agama oleh Ustaz Datuk Shamsuri Haji Ahmad mengenai falsafah “Bola Kehidupan”.
Datuk Shamsuri menceritakan mengenai pertemuan beliau dengan seorang kenalannya yang merupakan guru pencen yang telah berumur.
“Dia kata orang tua-tua ni, kalau nak dibuat contoh macamlah bola.
“Ada masa jadi macam basketball (bola keranjang)…masa kita pencen dan dapat duit gratuiti, hartapun ada dan masih sihat, anak-anak berebut nak tangkap kita…macam bola basketball.
“Kalau kita pergi KL dan berkunjung rumah seorang daripada anak kita, yang lain marah dan merajuk kalau tak pergi rumah mereka.
“Kemudian apabila tiba masa kita mula sakit-sakit dan memerlukan penjagaan…makan minum, nak kena bawa ke klinik ambil ubat, masa tu kita jadi macam bola sepak.
“Anak-anak mula nak lepas tanggungjawab serahkan kepada satu sama lain kerana sibuk dengan kerja…abang sepak kepada adik dan adik pulak cari alasan untuk tidak menjaga orang tua.
“Sampailah peringkat kita jadi bola golf…masa tu anak-anak kira nak pukul jauh-jauh, nak lagi cantik terus masuk lubang – hole in one…selesai, habis cerita, itulah kehidupan kita.
“Kalau boleh, biarlah kita jadi macam bola ragbi…jatuh dalam selut dan lumpur waktu permainan dalam hujan, tetap diterkam dan dipeluk erat.
“Kalaulah kita boleh jadi macam bola ragbi sampai hari mati, Alhamdulillah,” kata Datuk Shamsuri.  




No comments:

Post a Comment