Thursday, 19 October 2017

Undang Luak Johol lawat Bernama...

Peranan Undang dalam sistem adat perpatih di Negeri Sembilan diperjelaskan oleh  Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah semasa kunjungannya ke Wisma Bernama hari ini.
Dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Bernama, beliau berkata Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin berperanan sebagai pemerintah bersama dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Undang Luak juga berperanan menyampaikan watikah pelantikan pegawai-pegawai agama dan masjid di luak masing-masing serta menentukan kadar zakat fitrah Negeri Sembilan bagi sesuatu tahun.
Muhammed, yang dilantik sebagai Undang Luak Johol ke-15 pada 27 Mac tahun lepas, diiringi isteri Tok Puan Faridah Hanom Jaafar serta 17 anggota rombongan.
Kedatangan mereka disambut Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab serta para pegawai dan kakitangan Bernama.
Beliau juga menyatakan mengenai usahanya menubuhkan Yayasan Undang Johol bagi membantu golongan sasar yang memerlukan bantuan kebajikan.
Yayasan itu merupakan satu platform neutral yang mampu menggerakkan pembangunan lestari dan transformasi dalam bidang sosial serta ekonomi rakyat bukan hanya di jajahan Luak Johol malah di kawasan lain di seluruh negara.
"Dalam soal pendidikan contohnya, kita lihat masih ramai pelajar memerlukan bantuan dari sudut kewangan dan yayasan ini akan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa, fahaman siasah (politik) dan agama," katanya.
Muhammed berkata pihaknya kini sedang menunggu pengeluaran sijil pendaftaran rasmi daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sebelum yayasan itu dapat beroperasi.
Dalam pada itu, Muhammed berkata Balai Undang Luak Johol ingin menjalin kerjasama dengan Bernama untuk menerbitkan buku 'coffee table' bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sejarah dan peranan institusi Undang Luak Johol.
"Bernama sebagai sebuah agensi berita yang disegani boleh membantu menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat khususnya di luar Negeri Sembilan kerana ramai yang tidak mengetahui mengenai Undang Luak," katanya.
Beliau turut menyuarakan hasrat menjalin kerjasama dengan Bernama dalam bidang telekomunikasi bagi meningkatkan capaian informasi kepada rakyat.
Azman pula berkata Bernama bersetuju secara prinsip mengadakan kerjasama menerbitkan buku mengenai institusi Undang Luak Johol yang telah wujud sejak 294 tahun yang lalu.
"Bernama sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam menerbitkan buku termasuk mengenai pemimpin-pemimpin negara," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment